RM172.68 juta dividen diagih peserta Ladang Rakyat sejak 2006

- Advertisement -

KOTA BHARU: Jumlah terkumpul pembahagian dividen bulanan Program Ladang Rakyat kepada peserta dalam kalangan penduduk miskin sejak dilaksana pada tahun 2006 sehingga sekarang sebanyak RM172.68 juta.

- Advertisement -

Menteri Besar Ustaz Dato Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri memperkenalkan Program Ladang Rakyat untuk membantu rakyat berpendapatan rendah melalui aktiviti perladangan dan pertanian.

Katanya melalui program Ladang Rakyat, kerajaan negeri dapat membantu rakyat khasnya peserta Ladang Rakyat dengan memberi sumbangan bulanan hasil daripada pemajuan ladang sebanyak RM200.

“Daripada 4,700 peserta dalam kalangan penduduk miskin di seluruh negeri, di mana 208 orang daripadanya kaum Orang Asli.

“Kira-kira sehingga 30 peratus peserta Program Ladang Rakyat di Kelantan keluar daripada paras kemiskinan sejak program tersebut dilancarkan 16 tahun,” katanya pada program Himpunan Perdana Peserta Ladang di Putik hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar Dato Mohd Amar Abdullah dan anggota-anggota Exco kerajaan negeri.

Menteri Besar juga berkata, Ladang Rakyat juga menubuh 47 Tabung Tindakan Kebajikan Peserta Ladang Rakyat untuk membantu peserta menabung bagi keperluan kebajikan mereka.

“Antaranya seperti menyalurkan bantuan wang kepada mangsa kebakaran atau bencana, sumbangan pendidikan, kematian dan lain-lain.

“Manakala jumlah agihan Manfaat Takaful Hayat kepada 333 wasi meninggal adalah sebanyak RM3.151 juta,” katanya.

Oleh itu kata beliau kerajaan negeri akan memastikan Program Ladang Rakyat yang terbukti menjaga kebajikan rakyat terus dipertahan dan ditambah baik di bawah pentadbiran Membangun Bersama Islam. – HARAKAHDAILY 19/7/2023

- Advertisement -