Tiada notis tangkapan ketika ditahan jam 3 pagi – Sanusi

- Advertisement -

SELAYANG: Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Noor memberitahu beliau tidak diberi sebarang notis sebelum penangkapan ketika ditahan pada jam 3 pagi tadi.

- Advertisement -

Katanya penangkapan itu dianggap lebih sebagai dakwaan politik semata-mata.

“Saya dibawa anggota polis jam 3 pagi tanpa sebarang notis. Saya tidak mengetahui apa dakwaan sehingga saya membaca laporan media online.

“Biasanya isu politik diselesaikan di medan politik seperti hujah balas kepada arguement ucapan kita.

“Tetapi di Malaysia sekarang kerajaan begitu takut, mereka gunakan pihak berkuasa untuk tahan atau sekat ucapan kita,” ujarnya kepada media selepas perbicaraan kesnya di Mahkamah Sesyen hari ini. (Foto atas)

Beliau dibebaskan dengan ikat jaminan sebanyak RM10,000 di atas dakwaan berkaitan ceramah di Selayang ketika membantu kempen PERIKATAN NASIONAL bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan akan diadakan pada 4 Oktober hadapan.

Sanusi juga berkata, beliau sudah bersedia untuk menghadapi kes seumpama itu.

Katanya beliau tetap hadir ke mahkamah seperti ditetapkan, namun mengapa masih perlu ditangkap di lokasi tempat beliau menginap.

“Tindakan sebegini membuktikan bahawa kerajaan ketakutan yang mana segala agensi agensi awam digunakan untuk menyekat perkembangan isu bagi menghadapi PRN tidak lama lagi,” katanya.

Oleh itu beliau berkata, dengan perkembangan yang berlaku itu diharap dapat membantu PN menguasai enam negeri pada PRN 12 Ogos ini. – HARAKAHDAILY 18/7/2023

- Advertisement -