ALOR SETAR: Semua rakyat Kedah terutama ahli PAS dan penyokong PERIKATAN NASIONAL (PN) dinasihatkan agar bersabar dan mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
Sehubungan itu, Ketua Dewan Muslimat PAS negeri, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali menyeru supaya memperbanyakkan berdoa agar Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor diberi kekuatan dan ketenangan menghadapi ujian mutakhir ini.
“Semua ahli PAS dan penyokong PN saya nasihatkan bersabar. Jangan bertindak di luar batasan undang-undang, patuhi peraturan dan terus berdoa,” katanya dalam ucapan ringkas sebaik sahaja selesai majlis bacaan Yaasin dan Munajat Akifi secara di atas talian hari ini.
Ujarnya lagi, apa yang berlaku terhadap Menteri Besar lebih kepada untuk membunuh karier politiknya.
Sanusi katanya bukan sahaja pemimpin kerajaan yang cemerlang tetapi juga seorang yang lantang serta berani menyampaikan kebenaran.
“Inilah sunnah perjuangan yang pastinya berhadapan dengan pelbagai ujian dan tribulasi,” tambahnya lagi.
Sanusi dihadapkan ke Mahkamah Syeksen Selayang pagi ini atas dua pertuduhan membabitkan ucapannya pada majlis politik PN, di Selayang, 11 Julai lalu.
Justeru Ashah yang juga Exco kerajaan negeri mengharapkan situasi itu akan menaikkan sokongan rakyat kepada PN.
“Bukan sahaja PN terus kekal di Kedah sebaliknya lima negeri lain yang akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini turut dimenangi PN.
“Kepada isteri, anak-anak dan ahli keluarga Menteri Besar Kedah, terus tenang dan banyakkan bersabar,” kata beliau lagi.
Majlis bacaan Yaasin dan Munajat Akifi pagi ini turut disertai Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh. – HARAKAHDAILY 18/7/2023