PAS Kedah kekal pertahan YAB DS Sanusi

Pendakwaan yang dilakukan akan membersihkan nama baik MB

- Advertisement -

PAS Kedah kekal dengan prinsip mempertahankan Menteri Besar Kedah merangkap Pengerusi PERIKATAN NASIONAL Negeri Kedah, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor. 

PAS Kedah yakin pendakwaan yang dilakukan pada hari ini adalah proses untuk membersihkan nama baik Menteri Besar Kedah yang menjadi sasaran politik kotor oleh sebahagian pihak yang berkepentingan. 

Situasi politik negara kelihatan semakin meruncing dengan tindakan sebahagian pimpinan PH-BN yang tidak henti-henti menyerang YAB Sanusi.

Segala ruang dan peluang dieksploitasi semahunya bagi memastikan perjuangan YAB Sanusi khasnya, dan PERIKATAN NASIONAL amnya dipadam daripada pentas politik. 

Tidak cukup dengan serangan peribadi dalam isu banglo, akaun media sosial beliau disekat bahkan pelbagai siri rangkaian fitnah dicipta bagi memastikan karakter YAB Sanusi dibenamkan. 

PAS Kedah ingin bertegas bahawa apa yang sedang berlaku ini adalah pendakwaan terpilih yang dilakukan di bawah Kerajaan Madani ala diktator. Sedangkan beberapa tokoh parti PH-BN sendiri pernah menghina para Sultan dengan tohmahan yang lebih dahsyat. 

Malangnya, hari ini mereka masih bebas bersuara. Kesalahan yang dilakukan itu belum terpadam daripada ingatan rakyat Malaysia. 

Apakah PH-BN benar-benar akan membawa wacana politik kotor sedemikian di sebalik pelbagai slogan kebebasan dan demokrasi yang dilaungkan sebelum ini? Itulah pembohongan terbesar PH-BN kepada rakyat Malaysia. 

Suatu ketika mereka mahu menghapuskan akta-akta yang mereka anggap sebagai ‘akta zalim’ termasuklah Akta Hasutan. Hari ini akta tersebut digunakan untuk menjatuhkan lawan politik. 

Apa lagi kalau bukan ia hanyalah hipokrasi perjuangan PH-BN yang semakin luput sokongan rakyat saban hari.

PAS Kedah sentiasa mendoakan yang terbaik kepada YAB Sanusi dan mengharapkan proses perundangan akan dilaksanakan secara adil. PAS Kedah tekal berpegang teguh pada prinsip keadilan mengikut undang-undang serta bebas daripada sebarang cengkaman atau pengaruh politik.

PAS Kedah mengharapkan untuk semua ahli serta penyokong PAS bertenang, tidak dipengaruhi dengan emosi dan sentiasa patuh pada undang-undang negara. Dalam masa yang sama, perbanyakkan doa serta munajat agar pemimpin yang kita kasihi ini, yang ikhlas dan amat bertanggungjawab kepada seluruh rakyat Kedah sentiasa berada dalam lindungan Allah S.W.T.

Semoga YAB Sanusi mendapat keadilan yang selayaknya sepanjang proses undang-undang dilaksanakan insya-Allah

Sekian, terima kasih.

DATO’ AHMAD YAHAYA
Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah – HARAKAHDAILY 18/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -