‘Kejayaan ini tiada garis penamat’

Antara pelajar yang diraikan pada majlis itu bersama Ustaz Rosli dan Wan Razali.
- Advertisement -

KUANTAN: Kejayaan bukan sahaja diukur dalam bidang akademik kerana ia tiada garis penamat, kata Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor.

- Advertisement -

Sehubungan itu, beliau menyeru pelajar yang yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 terus berusaha untuk lebih berjaya pada masa akan datang.

“Kejayaan ini bukan sahaja diukur dalam bidang akademik atau dapat melanjutkan pengajian ke menara gading.

“Kejayaan ini tiada garis penamat. Bukan sahaja bidang akademik, mungkin semasa bekerja. Jadi teruskan berusaha, kemudian berbakti kepada masyarakat,” ujarnya pada majlis penghargaan kepada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM 2022 di sini, hari ini.

Dalam majlis tersebut yang diadakan di pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Tanjung Lumpur itu, setiap pelajar diberikan sijil penghargaan dan sumbangan tunai.

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Kawasan, Ustaz Rosli Jabar mengingatkan para pelajar yang berjaya dalam peperiksaan itu tidak melupakan pengorbanan ibu bapa dan guru.

“Jangan lupa pengorbanan dan jasa ibu bapa dan guru-guru yang berkorban untuk kita. Sentiasa doakan kebaikan buat mereka.

 Beliau yang juga Adun Tanjung Lumpur menambah, kejayaan di dunia hanya sementara sebaliknya yang kekal adalah di akhirat.

“Setinggi mana pun kejayaan kita di dunia, jangan tinggalkan akhirat. Kejayaan di dunia hanya sementara, tapi kita mahu kejayaan yang kekal di akhirat,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 18/7/2023

- Advertisement -