Politik pembunuhan karakter meruntuh tamadun bangsa

- Advertisement -

AHLI politik ‘sakau’ semakin ghairah menggunakan politik pembunuhan karakter terhadap pesaing-pesaing mereka. Adakah ini satu pendekatan yang membina tamadun bangsa? Sudah pasti politik sebegini akan meruntuhkan tamadun bangsa.

Menurut Icks dan Shiraev (2014),  pembunuhan karakter adalah praktis di mana tindakan yang disengaja dan berterusan dilakukan untuk merosakkan reputasi atau kredibiliti individu. Pembunuhan karakter dapat dikaji dalam pelbagai disiplin ilmu seperti psikologi, ilmu politik, sejarah dan kajian komunikasi. Menurut Walton (1998) pula pembunuhan karakter melibatkan pelbagai jenis serangan bagi mengotorkan nama baik individu bagi mengalihkan perhatian dari isu reputasi lawan. 

Pada tahun 2014, Eric Shiraev memperkenalkan tujuh kaedah pembunuhan karakter yang digunakan, iaitu kebohongan anonim (anonymous lies) iaitu diertikan sebagai penyuntingan biografi seseorang pada tapak tertentu seperti wikipedia. Kedua salah petik (misquoting) iaitu menghilangkan perincian penting dari petikan atau memetik di luar konteks. 

Ketiga membungkam (silencing) iaitu menghindari penyebutan mengenai individu dan pekerjaan mereka. Penyerang berusaha untuk menghapus catatan mereka dari ingatan orang ramai. Selebihnya kaedah lain adalah seperti tindakan vandalisma (acts of vandalism), panggilan nama (name-calling, deminization), penyakit mental (mental illness) dan penyelewengan seksual (sexual deviance).

Melihat kepada kaedah tersebut, nampaknya ahli politik sedang mengganas menggunakan pembunuhan karakter terhadap pesaing mereka apabila hujah kebenaran tidak ada. Negara boleh terabai, tamadun bangsa bakal lenyap yang penting cita-cita peribadi mereka tercapai. Akhirnya sifir yang ada ialah semakin kuat seseorang ahli politik tersebut diterima rakyat semakin ganas pesaingnya melakukan pembunuhan karakter!

ABU FAWWAZ – HARAKAHDAILY 18/7/2023

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!