Utara India, Pakistan huru-hara akibat hujan lebat

Air sungai mengalir deras di Himachal Pradesh. - AP
- Advertisement -

NEW DELHI: Sekolah di New Delhi terpaksa ditutup selepas hujan monsun yang lebat melanda ibu negara India dan menyebabkan tanah runtuh dan banjir kilat di utara negara itu, mengorbankan sekurang-kurangnya 15 orang sejak tiga hari lalu.

Hujan lebat pada hujung minggu menyebabkan sebahagian New Delhi dilimpahi air yang menenggelamkan jalan raya dan menyebabkan penduduk terkandas.

- Advertisement -

Negeri tanah tinggi di utara paling teruk terjejas dengan 10 orang terbunuh dalam banjir kilat dan tanah runtuh di Himachal Pradesh dan Uttarakhand.

Menurut agensi berita Press Trust of India, seorang maut di New Delhi dan empat terbunuh di wilayah Kashmir yang dikuasai India.

Tanah runtuh akibat hujan lebat turut mengganggu lalu lintas di lebuh raya utama di Uttarakhand, negeri tanah tinggi yang menjadi tumpuan pelancong di Himalaya, menyebabkan penduduk diberi amaran tidak keluar dari rumah melainkan perlu.

Pihak berkuasa menggunakan helikopter untuk menyelamatkan mangsa, manakala jambatan dan rumah dihanyutkan di negara jiran, Himachal Pradesh.

Agensi cuaca India menjangka lebih banyak hujan lebat di utara dalam tempoh beberapa hari akan datang. Hujan monsun di seluruh negara membawa kira-kira dua peratus lebih banyak hujan berbanding biasa.

India kerap menyaksikan banjir teruk semasa musim tengkujuh antara Jun dan September serta membawa sebahagian besar hujan tahunan Asia Selatan. Hujan penting untuk tanaman yang memerlukan banyak air, tetapi sering menyebabkan kerosakan meluas.

Ahli sains menyatakan monsun semakin tidak menentu akibat perubahan iklim dan pemanasan global yang menyebabkan kejadian tanah runtuh dan banjir kilat semakin kerap di utara Himalaya India.

Kenderaan meredah air dalam keadaan hujan lebat di New Delhi

Di negara jiran Pakistan, yang turut dilanda hujan monsun, pihak berkuasa berwaspada terhadap banjir selepas India mengalihkan air dari empangan ke Sungai Ravi, yang mengalir dari India ke Pakistan.

Menurut agensi pengurusan bencana Pakistan, pemindahan penduduk dijalankan dari tanah rendah wilayah Punjab timur. Lebih 500 orang dipindahkan dari kampung Narowal, Sialkot dan tempat lain.

Sekurang-kurangnya 80 orang maut dan 182 cedera di Pakistan dalam kejadian berkaitan cuaca sejak 25 Jun ketika hujan lebat melanda puluhan ribu orang di negara itu.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, memuji penyelamat kerana memindahkan mereka yang terkandas di Punjab.

Pakistan berkata, New Delhi memaklumkan kepada Islamabad berhubung pelepasan air ke Sungai Ravi seperti yang perlu dilakukan mengikut Perjanjian Air Indus 1960.

Negara itu yang kekurangan wang masih bergelut untuk pulih daripada banjir musim panas lalu yang mengorbankan 1,739 orang dan menyebabkan kerosakan bernilai AS$30 bilion. – AP

- Advertisement -