Tuntut nasib bekas pekerja Ladang Kamiri dibela

- Advertisement -

PAS Negeri Perak memandang serius dan mengambil berat akan nasib 34 bekas pekerja Ladang Kamiri Sungai Siput milik Sime Darby Bhd yang diberhentikan kerja pada tahun 1999. 

Isu pampasan diperjuangkan begitu lama hinggalah tahun 2011, pihak Sime Darby setuju untuk memberikan tanah seluas 7 ekar bagi menempatkan 34 lot tanah tapak rumah bagi bekas pekerja ini.

Namun begitu, pada tahun 2012, setelah perbincangan dengan pihak kerajaan negeri, mereka ditawarkan untuk ditempatkan di RPT kerajaan negeri yang berhampiran. 

Difahamkan melalui salinan surat dari pejabat SUK Negeri Perak, kesemua 34 orang bekas pekerja ladang ini diluluskan untuk diberikan lot tanah tapak rumah di RPT Wilayah Batu Satu, Jalan Lintang, Sungai Siput.

Malangnya, sehingga hari ini kesemua mereka masih menantikan surat hak milik dan Notis 5A  bagi lot tanah tersebut. 

Kelulusan yang dibuat 11 tahun lalu seolah-olah tiada makna dan mereka terus dibuat seperti bola ditendang ke sana ke mari apabila wakil bekas pekerja bertanyakan status pemilikan tanah tersebut melalui pelbagai surat.

PAS Perak menggesa pihak berkuasa negeri supaya menunaikan janji dan tidak menghampakan harapan bekas pekerja ladang ini yang sudah lama berjuang bagi hak mereka:

- Advertisement -

اَللَّهُمَّ يَسِّرْ وَ لَا تُعَسِّرْ

“Ya Allah, permudahkanlah, janganlah dipersulitkan”

Berilah hak kepada mereka dan janganlah terus menzalimi mereka.

Sekian.

MOHD FAIZ ZAINAL
Pengerusi
Lajnah Pembangunan Tanah PAS Perak

Konologi isu 34 bekas pekerja Sime Darby

1999: Seramai 34 orang yang telah berhentikan kerja, pampasan yang diterima hanyalah RM8,000.

November 2010: Pihak Sime Darby bersetuju menawarkan tanah seluas 7 ekar untuk dijadikan 34 lot tapak rumah bagi penyelesaian pampasan bekas pekerja tersebut. Sebuah syarikat ditubuhkan Salmiri Sdn Bhd bagi mengambil sebahagian tanah Lot 1146 (0.8094 hektar) dan Lot 16222 (2.0234 hektar) melalui Seksyen 3(1)(b) Akta Pengambilan Tanah 1960. Bayaran permohonan sebanyak RM10,000 dan Deposit Pengambilan Tanah sebanyak RM245,000 telah dijelaskan (rujuk resit).

Disember 2011: Mesyuarat bersama 34 bekas pekerja, wakil Sime Darby, Pejabat Tanah Sungai Siput dan UPEN Negeri Perak telah memberikan cadangan alternatif iaitu diberikan tanah lot tapak rumah di atas tanah kerajaan yang dinamakan RPT Wilayah Batu Satu.

Januari 2012: MMK menolak cadangan pengambilan balik tanah yang dipohon atas syarikat Salmiri Sdn Bhd, namun meluluskan lot kediaman di RPT Kerajaan Negeri kepada 34 orang bekas pekerja ini.

Oktober 2018: Surat dari Pejabat Tanah Sungai Siput memaklumkan bahawa kertas pertimbangan telah dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Negeri namun belum mendapatkan sebarang keputusan.

Jun 2022: Surat dari Pejabat Pengarah Tanah dan Galian memaklumkan cadangan tapak penempatan telah diproses bagi tujuan pertimbangan Pihak Berkuasa Negeri.

Januari 2023: Wakil 34 bekas pekerja menulis surat kepada YAB Menteri Besar Perak supaya mempercepatkan urusan pemberian geran hak milik dan Notis 5A bagi 34 lot tanah yang tertangguh walaupun telah diluluskan sejak tahun 2012. – HARAKAHDAILY 11/6/2023

- Advertisement -