FIFA tarik balik penggantungan Zimbabwe

- Advertisement -

FIFA menarik balik penggantungan 18 bulan terhadap Persatuan Bola Sepak Zimbabwe (ZIFA) hanya beberapa hari menjelang undian pertandingan kelayakan Piala Dunia 2026 peringkat Afrika.

Berikutan itu, Jawatankuasa sementara dibentuk untuk menjalankan operasi ZIFA sehingga pemilihan pasukan pengurusan baharu diadakan.

- Advertisement -

Zimbabwe digantung oleh badan induk global itu pada Februari 2022 berikutan campur tangan kerajaan dalam perjalanan persatuan bola sepak yang bermasalah itu.

Jawatankuasa eksekutif ZIFA diarah dibubarkan pada November 2021 oleh Suruhanjaya Sukan dan Rekreasi Zimbabwe berikutan dakwaan bahawa wang yang kerajaan berikan kepada persatuan itu untuk menyertai pusingan akhir Piala Negara-Negara Afrika 2019 diselewengkan.

“Majlis FIFA memutuskan menarik balik penggantungan yang dikenakan ke atas ZIFA pada Februari 2022 dan melantik jawatankuasa normalisasi berkuat kuasa serta-merta,” FIFA mengesahkan dalam satu kenyataan, semalam.

Antara tugas jawatankuasa normalisasi ialah menyemak Statut ZIFA dan Kod Pilihan Raya untuk memastikan mematuhi Statut dan keperluan FIFA serta memastikan dilaksanakan oleh Kongres ZIFA.

Jawatankuasa normalisasi akan dipengerusikan oleh pentadbir tempatan, Lincoln Mutasa dan mesti menyelesaikan mandat menjelang Jun 2024.

Undian untuk kelayakan Piala Dunia peringkat Afrika akan datang diadakan di Kongres CAF yang secara rasmi bermula di Abidjan pada Khamis ini.

Pusingan pertama perlawanan akan dimainkan pada November. – REUTERS

- Advertisement -