Realisasi ‘The Greater Kedah’, kekalkan Sanusi!

- Advertisement -

SEBENARNYA The Greater Kedah bukanlah menambah gagasan baharu kepada Negeri Kedah apatah lagi kelihatan mengesampingkan Pelan Kedah 2035 yang menjadi perancangan induk Negeri Kedah dalam satu dekad mendatang. 

The Greater Kedah adalah suatu kebangkitan kesedaran mengenai kehebatan lipatan sejarah yang telah dilakar pada masa lalu, kemudian digarap menjadi pemangkin kepada kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan negeri pada masa akan datang. 

Slogan The Greater Kedah ini sebenarnya membangkitkan kesedaran kepada rakyat di negeri ini. Tok nenek kita dahulu bukan calang-calang orangnya. 

Kita merupakan sebahagian daripada bangsa pedagang yang telah merantau ke seluruh dunia. 

Kita telah membina susur galur tamadun yang hebat dengan pembangunan Kerajaan Kedah Tua. 

Bangsa kita juga bangkit melawan penjajahan Siam dan British secara serentak dalam kebangkitan Perang Musuh Bisik yang bermula pada tahun 1821. 

Ini adalah sebahagian daripada ‘puzzle’ kepada The Greater Kedah dahulu kala.

Terlalu banyak untuk dirungkai kehebatan lampau yang semakin sepi ditelan masa.

The Greater Kedah perlu menjadi sandaran terhadap kehebatan tersebut supaya ia tidak terus hanyut ditelan arus kemodenan. 

Apabila kita bercakap soal Pulau Pinang milik Kedah, tidak kurang yang mengecam walaupun asas yang diutarakan adalah soal mempertahankan prinsip federalisme Persekutuan dan Negeri.

Hikmahnya terbuka 1,001 satu cerita yang selama ini terpendam di sebalik nota-nota kajian akademik. Sekurang-kurangnya suatu ‘catalyst’ kepada perbahasan semula terhadap persejarahan negara yang dipesongkan berkiblatkan kepada British semata-mata. 

Naratif persejarahan ini harus diletakkan pada neraca bacaan yang betul. Jika tidak kekuatan jati diri bangsa Melayu akan terus tenggelam. Di sinilah gagasan The Greater Kedah menapak – jati diri Melayu-Islam.

Saya mengharapkan agar ia tidak terhenti pada satu titik ini. Semoga lahir generasi yang menyambung perjuangan memperbetulkan naratif sejarah pada hari ini insya-Allah

Sejak sekian lama Kedah menjadi negeri pertanian. Kita berkorban kemajuan hasil demi mempertahankan keselamatan makanan negara. KDNK Kedah pada era 90-an berada pada kedudukan tercorot. 

Kedah menjadi sinonim dengan negeri miskin. Pesawah yang membanting tulang empat kerat adalah golongan miskin yang menetap di negeri yang miskin. 

Sedangkan negara mengaut hasil industri padi dan beras negara dengan Malaysia berdiri pada 70 peratus tahap sara diri. 

Jika difikirkan secara logik, sepatutnya pesawahlah yang lebih kaya daripada kita semua kerana hasil di tangan mereka. Namun, sebaliknya pula berlaku. Bagaimana itu terjadi?

Itulah politik yang berada di tangan kita, bukan di tangan orang lain. 

Sama ada kekal dengan cara lama, atau politik ini akan merubah suasana baharu dengan pembentukan jati diri yang telah lama terhakis. 

Pelan Kedah 2035 adalah pelan rancangan Kerajaan Negeri. Sama ada projek mega seperti Kedah Aerotropolis, Kedah Rubber City dan sebagainya mahupun gerak kerja kebajikan rakyat, kesemua ini diadun di bawah slogan Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua.

Kesemua ini telah membuahkan suatu ‘the end of mind’‘Kedah, tempat orang miskin berteduh, tempat orang kaya berbakti’. 

Inilah tekad PERIKATAN NASIONAL di Kedah, mengembalikan kekuatan The Greater Kedah! 

Kekalkan Sanusi dan bersama The Greater Kedah! 

Kepada Allah S.W.T kita berserah. 

DATO’ HAJI AHMAD YAHAYA
Pesuruhjaya PAS Kedah merangkap Timbalan Pengerusi PERIKATAN NASIONAL Negeri Kedah – HARAKAHDAILY 10/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -