Ras Adiba sertai Bersatu

- Advertisement -

SEREMBAN: Bekas senator yang juga bekas pembaca berita TV3, Datuk Ras Adiba Radzi, menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas menerima watikah keahlian parti itu daripada Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, malam tadi.

Penyerahan sijil itu disempurnakan semasa majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PERIKATAN NASIONAL (PN) Negeri Sembilan di pekarangan Dewan KRS Warisan Puteri Sikamat, Bandar Warisan Puteri di sini.

- Advertisement -

Ketika ditemui selepas program ini, Ras Adiba berkata, keputusan memilih Bersatu kerana percaya bahawa parti itu yang sebenarnya harus disokong oleh rakyat.

“Saya percaya daripada pengamatan kita selama ini, rakyat sedang menderita. Jadi saya sama-sama dengan sahabat-sahabat yang lain bersatu untuk memberi sokongan kepada mereka di luar sana, termasuk warga emas dan OKU yang begitu memerlukan. Saya rasa Bersatu adalah pasukan yang harus disertai.

“Kita dah susah beberapa bulan ini. Saya punya harapan dan berdoa Bersatu di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pasukan akan mengembalikan cahaya itu semula kepada negara kita, insya-Allah,” ujarnya.

Menurut Ras Adiba, keputusan untuk menyertai Bersatu dibuat beberapa minggu lepas setelah memikirkan semasak-masaknya walaupun sebelum ini pernah didekati rakan-rakan yang mengajaknya menyertai parti ini.

Beliau mengakui bahawa sebelum ini adalah ahli Umno, namun hanya ahli biasa dan tidak memegang apa-apa jawatan.

Sementara itu, Raz Adiba menyatakan komitmen untuk membantu kempen PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, terutama di Negeri Sembilan yang merupakan negeri kelahirannya.

Sambutan hebat penduduk Negeri Sembilan ketika pelancaran jentera pilihan raya PERIKATAN NASIONAL

“Insya-Allah saya akan bersama mereka dan memberi sokongan. Seperti yang saya katakan tadi, saya orang Negeri Sembilan, dah sampai masanya (untuk membantu kempen PN),’ ujarnya.

Ketika ditanya sama ada ditawarkan sebagai calon PN dalam PRN ini, katanya setakat ini tidak dimaklumkan tentang perkara ini, namun bersedia sekiranya ia berlaku.

“Orang ‘Nismilan’ cakap ‘sayo bersedio, bolehlah’. Saya tak kisah sama ada saya dicalonkan atau tidak. Saya akan memberikan sokongan 500 peratus kepada sahabat-sahabat dalam Bersatu,” ujarnya.

Turut menyertai Bersatu dan menerima sijil keahlian ialah bekas Timbalan Ketua Umno bahagian Putrajaya yang dipecat dari parti itu pada Januari lepas, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

Pada majlis yang sama, Muhyiddin turut menerima borang permohonan menjadi ahli Bersatu daripada mantan Ketua Wanita PKR Negeri Sembilan, Azlimah Zamli dan mantan Ketua Cabang PKR Jelebu, Yus Mazmi Ahmad Yusof. – HARAKAHDAILY 10/7/2023

- Advertisement -