Kisah kerajaan ditubuhkan dengan empat undi

Meranduk pertemuan bersejarah 'dua kerajaan' - (Bhg.2)

- Advertisement -

“PERKENALKAN, ini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, YB Ustaz Maliaman Kassim,”

Penulis terkedu. Masya-Allah, sederhana dan sempoi saja pimpinan PAS ni.

Jikalah tidak ada sesiapa yang memberitahu, mungkin sampai ke sudah kita tidak akan tahu sosok lelaki berkopiah putih, berkemeja batik merah belacan lengan panjang itu adalah seorang ADUN.

Kami dijemput naik ke tingkat atas. Hampir penuh meja bujur bilik mesyuarat tingkat atas bangunan dikelilingi kesebelasan utama pasukan juang ‘teguh pertahan’ DUN Ajil.

Oh, ini rupanya kerja mereka ‘eeeokk eeeokk’ sejak tadi, menyusun meja.

Hari ini merupakan hari bekerja buat warga Terengganu, namun suasana ‘keramaian’ di dalam bilik berudara dingin itu seolah-olah semuanya ambil cuti khas hadir menyambut ketibaan tetamu. 

Besarnya hati dan jiwa mereka. Kami adalah tetamu yang mereka tidak pernah ketemu,  orang-orang kecil dari kawasan yang hanya ada ‘YDP’ tetapi melihat kepada cara mereka menyambut, bagaikan kami ‘rombongan dagang bawa YB nak labur emas’.

Jika begini ‘mind set’ mereka bekerja, maka tidak mustahillah Allah mengurniakan kemenangan buat daerah pinggir Terengganu ini.

“Untuk pengetahuan semua, Ajil menang majoriti tipis dalam PRU14 iaitu beza empat undi sahaja,”

Penulis direnjat lagi. Terkejut. Malu. Sebagai seorang penulis dan wartawan, ‘maklumat asas’ tempat yang ingin dituju sepatutnya sudah ada diam-diam disimpan di dalam kocek. Aduh, memang memalukan.

Dalam Pilihan Raya 14 lalu, calon PAS, Maliaman Kassim, memperolehi 8,132 undi menewaskan penyandang kerusi iaitu calon BN, Dr Ghazali Taib yang mendapat 8,128 undi sementara calon PKR, Zamani Mamat sekadar mendapat 679 undi.

Begitulah kuasa Allah. Hanya dengan perbezaan ’empat’ majoriti undi, kerusi N.24 Ajil yang selama ini menjadi kubu kuat BN terlepas dari genggaman setelah PAS berjaya merampasnya.

Ibarat sebuah permainan bola sepak. Tumpuan pastilah kepada ‘bintang-bintang’ dari pasukan ternama yang dijangka menang. 

Tup, di minit-minit akhir perlawanan, pasukan tanpa nama yang di atas kertas tidak diletakkan harapan langsung untuk menang, menang!

Kemenangan tersebut merupakan kejayaan pertama PAS di kerusi ini kerana pada tahun 1999 lalu yang menyaksikan kebangkitan PAS di Terengganu, BN hampir tersungkur di DUN Ajil dengan majoriti undi 125 (calon Datuk Rosol Wahid).

“Dalam pilihan raya baru-baru ni, nampak pertambahan undi golongan muda, lebih kurang empat ribu lima ratus lebih. Ini menunjukkan kita bukan sekadar berslogan, orang nampak kita wat keje.

“Gelombang ‘teguh pertahan’ membuktikan kita ada kemampuan untuk pertahankan kemenangan di DUN Ajil walau pung berbekal empat undi. Kita ada jentera yang terbukti mampu melebarkan perkhidmatan, menyantuni semua agensi hok ada dalam DUN kita.

“Kejayaan kita ni dijangka berterusan melalui bukti kita wat keje. Zaman Umno dulu takdok benda ni (program-program yang diperkenalkan PAS), masyarakat boleh wat bandingan,” ujar Ustaz Maliaman atau lebih mesra disapa ‘ustaz Man’ satu persatu dalam nada bersahaja. 

Di balik riak wajah tenang mantan guru pertengahan usia itu, terselit harapan tersembunyi terhadap Sang Perencana agar jumlah undi itu tidak sekadar pegun bertahan begitu tetapi mampu berubah dan bertambah di dalam Pilihan Raya Negeri yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Tiada yang mustahil dan pelik di sisi Allah. 

Jika Allah tidak berkehendak, biar ‘se goh‘ (hebat) mana nama kita terukir di bintang, Allah takkan pandang. Jika Allah berkehendak, tiada apa atau sesiapa jua mampu menghalang suatu perkara itu terjadi hatta memenangkan sebuah daerah terpencil hanya dengan empat undi!

Ada satu lagi rahsia tersembunyi di balik kemenangan DUN Ajil.

Nantikan bahagian (3).

KHAULAH AL AZWAR – HARAKAHDAILY 10/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -