PH yang terancam, bukan kaum dan agama rakyat

DAP cetus isu wujudkan kebimbangan kepada orang bukan-Islam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: DAP galak menimbulkan isu ancaman berkaitan kaum, agama dan raja atau 3R adalah disebabkan merasa terancam oleh penolakan rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH).

Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, perkara tersebut semakin jelas apabila mereka mencetuskan kebimbangan kononnya wujud ancaman ke atas kaum dan agama bukan-Islam.

“Mereka gembar-gemburkan isu ini dan dipermain-mainkan isu ini bahawa ia menjadi ancaman, sedangkan yang terancam itu adalah PH, bukan kaum dan agama rakyat Malaysia,” ujarnya.

Beliau berkata, apabila PAS memperjuangkan mengenai Melayu, Islam dan Raja-raja ia sama sekali tidak pernah mengarahkan kekejaman atau kezaliman ke atas kaum dan agama rakyat bukan-Islam.

Menurut Ustaz Idris, ini kerana 3R adalah tonggak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan ianya wajib dimartabat dan dipertahankan sebagaimana tercatat dalam Perlembagaan PAS.

“Sebaliknya ketika DAP bercakap soal rasis dan ekstremis, sebenarnya merekalah rasis dan ekstremis itu. Adapun PAS, kewujudan PAS sejak penubuhannya memang untuk memperjuangkan perkara-perkara (3R) itu,” jelasnya.

Terangnya, kempen melampau dibawa DAP itu pasti tertolak oleh rakyat dengan realiti yang terbukti sebagaimana ditunjukkan PAS dalam menghormati kemajmukan kaum dan agama di negara ini.

Beliau mengemukakan kehidupan harmoni rakyat pelbagai kaum dan agama di Kelantan di mana tidak pernah sama sekali timbul isu sebagaimana dituduh sebagai ancaman oleh DAP dan PH.

Bekas Menteri Agama itu mengulas dakwaan Pengerusi Kebangsaan DAP yang antaranya menuduh ‘gelombang hijau’ akan merosakkan rumah ibadat atau tokong penganut agama bukan-Islam. – HARAKAHDAILY 10/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -