Zahid pertahan Guan Eng: Umno-DAP saling mensucikan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memperlihatkan sokongan beliau kepada Pengerusi DAP, Lim Guan Eng kerana wujud saling bergantungan antara kedua pihak.

Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas reaksi Zahid yang mempertahankan Guan Eng ekoran ucapan berunsur hasutan perkauman dan agama. 

Timbalan Perdana Menteri itu menyifatkan isu tersebut sengaja dimainkan pihak tertentu untuk memburukkan bekas Menteri Kewangan tersebut dan melakukan pembunuhan karakter.

Guan Eng dalam ucapannya pada satu majlis keagamaan mengungkapkan ancaman ‘gelombang hijau’ yang akan memusnahkan tokong Buddha dan kaum bukan-Melayu dikenakan pelbagai sekatan.

Ustaz Idris yang juga bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyifatkan kedua pemimpin itu dan parti mereka mempunyai kepentingan sesama sendiri.

“Jadi apapun yang Umno buat adalah untuk mensucikan DAP. Begitu juga DAP hari ini akan mensucikan apa Umno buat mutakhir ini. Maka tak hairanlah apa yang berlaku hari ini (Zahid pertahankan Guan Eng).

“Walaupun tindakan yang dilakukan ini luar dari kebiasaan, tetapi inilah menunjukkan bahawa pemimpin Umno kini berbeza dengan yang dahulu. Pemimpin Umno dulu lantang terhadap DAP, begitu juga DAP kepada Umno,” ulasnya. – HARAKAHDAILY 10/7/2023

- Advertisement -