PAS nafi senarai calon tular di media sosial

- Advertisement -

KOTA BHARU: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan senarai calon parti itu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan yang tular di media sosial sejak semalam.

- Advertisement -

Katanya senarai berkenaan tidak betul dan palsu.

“Saya juga melihat senarai nama calon yang tular itu. Walaupun tidak mengetahui apa motif maklumat mengenai senarai calon itu disebarkan tetapi saya sahkan ia tidak betul dan palsu.

“Biasalah kadang-kadang kita susah nak kawal media sosial yang terbuka sekarang. Jangan kata senarai nama calon, keputusan mengundi pun kadang-kadang keluar dahulu sebelum kiraan undi,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Ceramah Mega Pakat Pertahan Parlimen Kubang Kerian, di sini, malam tadi.

Terdahulu, tular senarai nama yang dikatakan calon PAS dan Bersatu yang akan bertanding di PRN Kelantan pada 8 Ogos ini.

Senarai yang ditular berkenaan menyebut Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa dikatakan akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melor, manakala Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz disebut bertanding di DUN Kijang. – HARAKAHDAILY 7/7/2023

- Advertisement -