Kedah peruntuk RM1.2 juta bantu 237 sekolah agama

- Advertisement -

SUNGAI PETANI: Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM1.2 juta bagi membantu institusi pendidikan agama yang mendaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK).

- Advertisement -

Bantuan itu diagih kepada 237 institusi pendidikan agama seluruh Kedah. Setiap sekolah menerima bantuan operasi sebanyak RM5,000 yang disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor petang semalam.

Menurut Menteri Besar, bantuan yang diagihkan itu bukan peruntukan baharu, sebaliknya diluluskan pada sidang Belanjawan Dewan Undangan Negeri 2023 tahun lalu.

Agihan itu melibatkan RM225,000 untuk 25 Sekolah Rendah Agama (SRA), RM185,000 – 37 Sekolah Menengah Agama (SMA), RM580,000 – 116 Maahad Tahfiz dan RM195,000 untuk madrasah dan sekolah pondok.

“Saya mewakili kerajaan negeri sangat berterima kasih kepada semua institusi pendidikan terbabit kerana mampu berdikari dan membiayai sendiri operasi sekolah.

“Malah berjaya melahirkan insan-insan yang berguna kepada agama dan negara,” kata beliau ketika ditemui selepas majlis penyerahan bantuan tersebut di Dewan Kenangan, Majlis Perbandaran Sungai Petani, (MPSPK) petang semalam.

Turut hadir pada program tersebut anggota Exco Dato’ Najmi Ahmad, Pegawai Kewangan Kedah, Dato’ Isahak Murat dan Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Katanya juga kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha JHEAIK dalam usaha memperkasakan pendidikan Islam terutamanya menilai berkaitan kurikulum serta dasar-dasar yang ditentukan kerajaan.

‘Bantuan operasi untuk institusi pendidikan agama diberi setiap tahun, Jangan pula ada pihak anggap rasuah pilihan raya. Ia sudah diluluskan dalam Bajet Kedah 2023 dan bukan kelulusan baharu,” jelasnya.

Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM955,000 pada tahun 2021 untuk 191 sekolah, manakala pada 2022 ditambah kepada RM1.05 juta melibatkan 210 sekolah.

JHEAIK juga merancang mewujudkan program Kemahiran Pengurusan Masjid kepada pelajar-pelajar sekolah agama termasuk maahad tahfiz sebagai persiapan aspek pengurusan masjid dalam kalangan generasi pelapis. – HARAKAHDAILY 7/7/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!