DUN Negeri Sembilan bubar secara rasmi hari ini

Dewan Undangan Negeri Sembilan.
- Advertisement -

SEREMBAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi secara rasmi dibubarkan hari ini, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

- Advertisement -

Pembubaran itu menyaksikan Negeri Sembilan juga menjadi satu-satunya negeri memanfaatkan sepenuhnya tempoh mandat lima tahun bagi penggal ke-14.

Persidangan DUN Negeri Sembilan yang pertama diadakan pada 1 Julai 2018, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun pada Rabu mengumumkan tarikh pembubaran DUN itu, setelah mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, bagi memberi laluan PRN.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Pakatan Harapan (PH) dipimpin Aminuddin menguasai 20 kerusi iaitu DAP dengan 11 kerusi, PKR (enam) dan Amanah (tiga).

Barisan Nasional (BN) pula memenangi 16 kerusi dengan 15 daripada dimenangi UMNO manakala MIC, satu.

Sepanjang penggal itu, satu Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan iaitu DUN Rantau berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan penyandang kerusi Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mohamad menerusi petisyen memohon untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov tahun 2018, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada PRU14 terbatal dan tidak sah.

Bagaimanapun, PRK Rantau pada 13 April 2019 menyaksikan Timbalan Presiden UMNO itu berjaya mempertahankan kerusi tersebut, dengan kemenangan majoriti 4,510 undi menewaskan tiga pencabarnya iaitu calon PH Dr S. Streram dan dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi serta bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Selain Negeri Sembilan, lima lagi negeri yang akan terlibat dengan PRN ialah Kelantan yang terlebih dahulu membubarkan DUN pada 22 Jun, diikuti Selangor 23 Jun manakala Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu masing-masing pada 28 Jun. – BERNAMA

- Advertisement -