Ada apa dengan uniform jururawat?

Photo used for illustration purposes only.
- Advertisement -

oleh MS (Dr) Afizah Salleh dan Prof Madya Dr Aspalilah Alias

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan isu pakaian jururawat yang dibangkitkan di Parlimen Malaysia. Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor menyifatkan bahawa kebanyakan jururawat wanita berpakaian ketat dan tidak mematuhi syariah. Beliau mencadangkan supaya pakaian jururawat diberi kelongaran.

Jururawat adalah satu profesion yang mulia. Mereka adalah insan-insan yang sentiasa membantu doktor dalam merawat pesakit. Mereka juga adalah petugas kesihatan yang sangat dekat dengan pesakit, mendengar keluhan, aduan dan menjadi perantara antara pesakit dan doktor.

- Advertisement -

Mungkin ramai yang mengaitkan jururawat dengan pelopor jururawat moden iaitu Florence Nightingale. Namun tahukah anda bahawasanya jururawat pertama dalam Islam bermula pada zaman Nabi Muhammad SAW. Siti Rufaidah binti Saad adalah jururawat pertama yang memberi rawatan kepada pesakit yang cedera di medan peperangan termasuklah peperangan yang terkenal dalam sirah nabi- Badar, Uhud, Khandaq dan Khaibar.

Dalam kehidupan seorang muslim ibadah itu boleh dikategorikan kepada ibadah umum dan ibadah khusus. Ibadah khusus kebanyakkannya adalah ibadah peribadi seperti solat, puasa, zakat, bersedekah dan menunaikan haji. Ibadah umum pula apa sahaja perbuatan dan pekerjaan seseorang yang tidak bercanggah dengan syariat Islam, memberi kebaikan dan manfaat dan diniatkan untuk mencapai reda Allah SWT.

Kehidupan seorang muslim di dunia adalah sebagai persediaan untuk menuju alam akhirat, maka seharusnya setiap perbuatan yang dilakukan dapat memberi pahala untuk dibawa ke alam akhirat.

Apabila kita menyatakan kita beragama Islam, ada banyak garis panduan dalam kehidupan mengikut acuan Al –quran dan Sunnah yang perlu dipatuhi. Islam itu sendiri bukanlah sekadar agama tetapi adalah cara hidup. Untuk menjadikan sesuatu pekerjaan itu sebagai ibadah terdapat beberapa ciri yang perlu dipatuhi:

1.Niat ikhlas kerana Allah
2.Tidak bertentangan dengan hukum syarak
3.Beramanah dan bertanggungjawab
4.Tidak meninggalkan perkara wajib
5.Meninggalkan perkara haram dan syubhah

Seorang wanita Islam yang telah baligh adalah diwajibkan untuk menutup aurat. Aurat wanita telah ditetapkan haruslah menutup seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan. Dan hukumnya bukanlah sunat tetapi wajib dilaksanakan.

Firman Allah SWT “Wahai nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu yang beriman bahawa hendaklah mereka melabuhkan jilbab (pakaian yang dipakai di atas baju dan tudung ) mereka ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenali, maka mereka tidak akan diganggu.” Al-Ahzab :59

Pakaian yang dipakai oleh wanita Islam juga tidak boleh ketat hingga menunjukkan bentuk tubuh perempuan tersebut.

Sabda Nabi SAW “Ada dikalangan perempuan berpakaian tetapi telanjang, pakaian yang menggodakan, pakaian yang nipis, pakaian yang ketat, di atas kepala mereka dihias. Rambutnya laksana bonggol unta. Mereka tidak dapat masuk ke syurga, bahkan tidak dapat menghidunya dan mencium keharumannya, walaupun syurga itu dapat dihidu dari jauh.” HR Muslim 5098.

Kedua-dua dalil jelas menunjukkan menutup aurat itu wajib dan disyaratkan bukan hanya menutup tetapi juga longgar dan tidak menunjukkan bentuk badannya.

Profesion jururawat telah lama bertapak di Malaysia. Seiring dengan celik hukum Islam yang dipelopori oleh para asatizah kita, kesedaran terhadap kewajipan menutup aurat juga semakin meningkat. Kesedaran ini juga singgah di hati nurani para jururawat beragama Islam yang bukan sahaja mahu berbakti kepada pesakit, tetapi dalam masa yang sama ingin menjaga diri dan agama yang mereka anuti.

Sepatutnya tidak sepatutnya timbul rasa kolot atau kurang bertamadun apabila mereka ingin memakai pakaian yang lebih longgar dan tudung yang lebih labuh menutup dada. Mengikuti ajaran Islam bukanlah kolot, tetapi usaha seorang Muslim untuk mengikut suruhan Allah SWT.

Dunia ini hanyalah sementara dan sebagai jambatan ke akhirat. Setiap perbuatan mestilah mengikut syariat yang ditetapkan oleh Allah SWT. Maksud seorang Muslim adalah seorang yang tunduk pada perintah dan larangan Allah agar menjadi orang yang bertaqwa.

Pada sudut kesihatan, risiko menyebarkan kuman bukanlah alasan yang kukuh kerana jika tudung yang labuhnya di paras atas abdomen, tidak ada risiko akan terkena pesakit. Selain itu jika ada prosedur perlu dilakukan, pekerja kesihatan biasanya akan memakai apron atau uniform khas di luar yang akan menutup keseluruhan pakaian termasuk tudung. Jika masih ada keraguan kajian boleh dilakukan untuk melihat risiko penyebaran jangkitan.

Perkara yang sama pernah menjadi isu semasa doktor Muslim di Malaysia menuntut untuk memakai tudung di dalam dewan bedah. Alasan kotor dan risiko jangkitan kuman menyebabkan perkara ini disanggah pada awalnya. Tiada alasan yang saintifik untuk menolak usaha ini kerana seseorang doktor masuk ke dewan tidak perlu pun mandi dengan bahan steril.

Dengan amalan ‘scrub’ yang sempurna dan pemakaian baju ‘skrub ‘ yang steril adalah memadai bagi mengelakkan jangkitan kuman. Ditambah lagi dengan suhu, pengudaraan dan penapis udara yang sedia ada dapat mengurangkan risiko jangkitan di dewan bedah. Dengan iltizam yang kuat demi menyempurnakan syariat menutup aurat, kini menjadi kelaziman untuk doktor dan jururawat memakai tudung di dewan bedah dengan syarat tudung yang baru dan tidak dipakai di luar dewan bedah.

Tiada peningkatan jangkitan kuman yang dilaporkan. Ini bukanlah satu perkara yang tidak boleh dilaksanakan. Sudah banyak premis-premis kesihatan swasta terutama yang dilabel patuh syariah telah membenarkan jururawat mereka memakai pakaian yang longgar dan tudung yang lebih labuh.

Di Mekah semasa musim haji, jururawat yang bertugas juga memakai uniform yang longgar dan tudung yang lebih labuh. Tiada timbul isu jangkitan kuman atau mengurangkan efikasi mereka melaksanakan tanggungjawab merawat pesakit.

Islam itu agama mudah tetapi tidak boleh dimudahkan. Bukan semua perkara adalah darurat dan keringanan diberikan. Setelah berpuluh tahun sistem kesihatan dikuasai oleh muslim, maka sepatutnya usaha untuk menambah baik perlaksanaan syariat patut dilakukan. Betulkan yang biasa, biasakan yang betul.

MS (Dr) Afizah Salleh adalah seorang Pakar Bedah di Hospital An Nur manakala Prof Madya Dr Aspalilah Alias adalah seorang Pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).


- Advertisement -