Kenapa air AKSB tak sampai, cukup kepada pengguna?

- Advertisement -

KOTOR atau angin sahaja yang keluar – itu kata dan gambar yang ditular mengenai keadaan perkhidmatan perbekalan air oleh syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB). Lalu terbit persepsi yang direncah tambah pula pihak tertentu dengan prasangka kononnya AKSB tak buat kerja.

Masalah dinyatakan itu memang berlaku, tidaklah ‘seburuk’ yang dituduh secara adu-domba berlebih-lebihan hingga keadaan seperti dalam kegawatan atau bencana. Setidak-tidaknya, marilah bersikap untuk tidak menjadikan isu yang berlaku itu satu dosa atau menyebabkan kezaliman kepada pihak lain.

AKSB melibatkan teraju pengurusan, pakar-pakar serta seluruh kakitangan mereka hakikatnya bekerja setiap hari memastikan pengguna menerima air terawat. Tetapi berkongsilah kesungguhan mereka itu dilaksana dalam serba kekurangan yakni tidak punyai segala yang secukupnya untuk berkhidmat.

Secara mudah faham, diringkaskan penjelasan begini: 

1. Air yang ada di bumi Kelantan ini semuanya bukan datang dari makmal sains yang manusia mencantumkan hidrogen dan oksigen (H2O). Tapi dari Kerajaan Allah S.W.T yang turunkan melalui hujan dan dicurahkan-Nya di lautan dan daratan.

2. Geografi bumi menjadi tapisan semulajadi air yang mengalir di sungai atau masuk ke bawah tanah. Secara umum, air ini boleh digunakan misalnya bagi tujuan membasuh atau mandi, tetapi lebih baik diproses atau dirawat, lebih-lebih lagi jika untuk minum.

3. Di tanah berperlembagaan ini, pihak yang bertanggungjawab atau berkuasa terhadap sumber air, kawasan tadahan air dan lembangan sungai adalah Kerajaan Negeri Kelantan. Kerajaan Negeri juga bertugas untuk memanfaatkan dari sumber, kemudian memproses, sebelum disalurkan kepada rakyat.

4. Secara khusus pengurusan air ini dipikulkan pula ke atas syarikat anak negeri iaitu Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB). Tetapi perlu diketahui, sejak tahun 2005, wujud akta-akta berkaitan di peringkat Persekutuan berkaitan bekalan air dan industri perkhidmatan perbekalan air menjadikan hal air ini ‘Senarai Bersama’.

5. Senarai Bersama ini menjadikan urusan perkhidmatan perbekalan air kepada rakyat selaku pengguna adalah tanggungjawab bersama Kerajaan Negeri dan Persekutuan. Pun demikian, Kerajaan Negeri Kelantan tetap tidak menerima kerjasama sepatutnya.

6. Sedikit perhatian atau janji untuk menangani masalah air Kelantan hanya bermula ketika pentadbiran Perdana Menteri Malaysia Ke-6, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Perhatian lebih ketara dari Kerajaan Persekutuan hanya berlaku selepas itu.

7. Fasiliti air yang ada di seluruh negeri dan jajahan-jajahan, bukan sahaja telah usang dan uzur, bahkan juga tidak mampu memenuhi keperluan atau permintaan semasa pengguna. Sedangkan Kelantan bukan hanya mengalami pertambahan penduduk, tetapi juga pelabur atau industri dan perkhidmatan lainnya.

8. Air di loji rawatan air (LRA) yang ada pula, hanya bergantung kepada sumber telah dinyatakan iaitu sungai dan bawah tanah sahaja. Itupun tidak semua air sungai atau bawah tanah itu dapat diabstrak semuanya atau sepanjang masa. Ada isu kemasinan dari air laut atau keasidan dan pasir yang mesti ditangani.

9. Bermakna, sumber ini amat penting dan kritikal kerana digunakan langsung atau terus tanpa dapat diperolehi secara bekal simpanan. Berbanding negeri lain yang punyai empangan khusus bagi perbekalan air. Kerana itu Kelantan mahu memiliki Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) yang mempunyai fungsi simpanan.

10. Apabila LRA memproses air mentah dari sumber, ia menggunakan ramai tenaga manusia bersama bahan kimia dan jentera teknologi khusus. Hingga air terawat yang menepati piawaian terhasil, barulah setelah itu ia disalurkan kepada pengguna.

11. Selain cabaran semulajadi yang wujud pada sumber air mentah seperti dinyatakan, bukan sepanjang masa juga ianya mencukupi. Keadaan seperti kurang hujan dan kemarau serta cuaca ekstrem lain juga mempengaruhi, jika di negeri lain pula berlaku isu pencemaran sumber air mentah.

12. Maka, jumlah perbekalan belum tentu pada setiap masa dapat dipenuhi berbanding keperluan permintaan semasa. Kekurangan bekalan boleh berlaku atas faktor semulajadi atau alam disebutkan tadi sungguhpun kerja atau tugasan serta keupayaan digerakkan sepenuhnya.

13. Air terawat juga boleh dikatakan pergi atau disalurkan langsung kepada pengguna tanpa Kelantan memiliki tangki simpanan air terawat. Dalam ‘perjalanan’ air itu, ia melalui sebahagiannya paip yang telah dibina sejak tahun 1970-an. Usia sekitar setengah abad itu menyebabkan ada kebocoran.

14. Air yang hilang disebabkan keadaan ini dipanggil air tidak terhasil (NRW) di mana dalam konteks di Kelantan, secara purata lebih separuh yakni sekitar 52 peratus. Oleh itu misalnya dari 50 juta liter sehari (JLH) diproses di LRA, sekitar 25 JLH dapat disampai kepada pengguna.

15. Katakan keperluan pengguna di jajahan itu adalah 50 JLH, bermakna pengguna sama ada mendapat kurang atau tidak mendapat langsung. Kurang kerana air itu telah sedikit disebabkan keadaan NWR ditempuh dalam penyalurannya, tidak mendapat langsung kerana jarak kedudukan pengguna.

16. Kerana air juga bergerak dengan tekanan, tentulah pengguna yang berada paling jauh atau hujung dari LRA akan mengalami keadaan tidak menerima bekalan atau angin sahaja. Walaupun terdapat rumah pam atau jentera yang mengepam penyaluran air, tetapi kerana sumber air terawat berkurang, maka ia tetap tidak sampai kepada pengguna yang berkenaan.

17. AKSB menangani situasi ini dengan menghantar air menerusi lori tangki. Tetapi harus difahami ia adalah situasi ‘luar biasa’, jadi memerlukan interaksi antara pengguna dan AKSB, serta penggiliran dan terhadnya. Cuba anggarkan jumlah aset ini dan masa untuk menggerakkannya.

18. Ketika sama ketahui, masalah NRW atau kebocoran paip-paip yang jajarannya berkilometer jauh juga giat ditangani. Tapi ia tidak semudahnya, pembelian paip itu memerlukan belanja yang besar dan peruntukan pula perlu dari Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

19. Dari Kerajaan Negeri, peruntukan tentulah terhad mengikut Belanjawan Tahunan dan mengikut keutamaan, begitu juga Persekutuan tetapi lebih besar boleh didapati. Setelah lulus pun, ia bukan perolehan sekali gus, biasanya berperingkat-peringkat.

20. Apabila wang sudah ada, tempahan juga mengambil masa misalnya untuk paip Asbestos Cement (AC) ia mengambil masa sekitar 4 bulan dari pembekal. Ketika sama, proses untuk kelulusan kerja menukar itu akan melibatkan banyak pihak setidak-tidaknya Pejabat Tanah, Jabatan Kerja Raya, selain Tenaga Nasional Berhad, Bomba dan pemilik tanah sekitar.

21. Kerja penukaran berada sekitar 5 meter di bawah tanah, ada risiko dan jumlah tenaga kerja serta jentera mesti ada, selain kawalan berkaitan di sekitar tempat kerja. Ia tidak mudah bahkan sangat mengambil masa. Secara umum, bagi setahun, kemampuan untuk menukar paip itu adalah sekitar 150 kilometer (km).

22. Sebab itu apabila ada kerja-kerja ini siap, atau bekalan air disambung semula setelah dihentikan, yang keluar itu kotor atau keruh. Tapi ia untuk seketika sahaja, disebabkan proses semasa pertukaran tersebut, setelah itu air jernih dan suci untuk kegunaan berdasarkan keperluan asasi pengguna.

23. Jumlah bagi negeri Kelantan adalah 4,006km paip perlu ditukar dari jajaran keseluruhan lebih 8,000km. Kakitangan dan pakar-pakar AKSB sedang bertungkus-lumus bergelumang selut dan air kotor, malah mengorbankan hari cuti dan masa mereka untuk pengguna mendapat air bersih terawat secukupnya.

Maka, marilah kita sedar bahawa mereka itu adalah suami kepada seorang isteri, juga bapa kepada anak-anak dan anak kepada ibu bapa, serta saudara kepada saudara-saudaranya, bahkan mungkin kenalan atau rakan kita. Oleh itu berikanlah solidariti dan mahu memahami, sekalipun tidak memberi sanjungan dan pujian.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 30/6/2023

- Advertisement -