Mengapa ditukar model 5G SWN DNB yang diakui terbaik?

- Advertisement -

JANGAN semata-mata kerana model SWN DNB dibuat di zaman PN memerintah maka Kerajaan PH-BN mahu menukarnya pula semata-mata untuk menampakkan kelainan sedangkan model SWN DNB ini diakui pakar-pakar sebagai yang terbaik.  

Digital Nasional Berhad (DNB) yang ditubuhkan pada 1 Mac 2021 adalah sebuah anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan). Ia telah diberi mandat oleh Kerajaan Malaysia untuk menjadi pihak neutral tunggal bagi melaksanakan infrastruktur dan rangkaian 5G ke seluruh negara.

Misinya adalah untuk mempercepatkan penyediaan dan penggunaan 5G untuk mendukung transformasi Malaysia menjadi peneraju ekonomi digital serantau serta memupuk masyarakat yang lebih inklusif.

Pada hujung tahun 2021, rangkaian 5G telah dilancarkan dengan menyediakan liputan 5G di ibu negara, diikuti pelaksanaannya ke seluruh negara dalam jangka masa tiga tahun seterusnya. 

Kejayaannya membanggakan di mana pada 2 Januari lalu DNB mengumumkan bahawa pelaksanaan rangkaian 5G Malaysia telah mencecah hampir 50 peratus liputan di kawasan berpenduduk (COPA) setakat akhir 2022 sekali gus melepasi sasaran awal sebanyak 40 peratus.

Pelaksanaan rangkaian 5G dijangka menelan belanja keseluruhan kira-kira RM16.5 billion untuk 10 tahun. RM4 billion akan disalurkan kepada Ericsson sebagai Penyedia Perkakasan Rangkaian (NEP), RM7.7 bilion untuk pembangunan infrastruktur, RM3.6 bilion untuk perbelanjaan korporat dan operasi manakala RM1.2 bilion untuk yuran kawal selia.

Model yang dilaksanakan oleh DNB dalam penyediaan 5G ialah Rangkaian Borong Tunggal (SWN) tetapi pada bulan Disember 2021 terdapat desakan untuk menukar model ini menjadi Dwi Rangkaian Borong (DWN).

Asas-asas yang biasa digunakan untuk mencadangkan penukaran ini ialah untuk mengelakkan kewujudan monopoli, memberikan transparensi serta memberikan inklusiviti. Pernah disebut kebimbangan bahawa DNB boleh bertukar menjadi 1MDB.

Kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob waktu itu meredakan kebimbangan ini dengan menjelaskan perbezaan DNB dan 1MDB. Antaranya ialah kos pembangunan 5G ini adalah dari pinjaman bank tanpa tanggungan gerenti dan liabiliti kerajaan.

Berdepan dengan tekanan, Ketua Pegawai Eksekutif DNB, Ralph Marshall, mengakui pada 12 Februari 2022 bahawa DNB tidak akan mampu ‘survive‘ dalam bentuknya sekarang jika kerajaan membenarkan kewujudan pembekal rangkaian borong kedua.

Turut menyokong DNB waktu itu ialah seorang penasihat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Brett Haan, yang menyatakan model SWN DNB ialah model yang beliau akan cadangkan kepada negara-negara lain untuk digunakan, dan penukarannya akan memberi kesan negatif kepada Malaysia.

Lima diplomat dari Amerika Syarikat, Jepun, United Kingdom, Australia dan ketua delegasi European Union ke Malaysia juga telah mengutus surat kepada Menteri Kewangan waktu itu mengingatkan kepentingan menjaga keyakinan pelabur luar kepada Malaysia.

Tiga orang pakar luar, iaitu Grant Forsyth, David Levin dan Prof William Webb, pula menulis artikel panjang lebar bagi menerangkan kebaikan SWN berbanding DWN. Antara poin yang dinyatakan ialah DWN sebenarnya dikatakan tidak akan mendorong kepada peningkatan persaingan dan inovasi. 

Lanjutan perbincangan kerajaan, Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengumumkan pada 16 Mac 2022 untuk mengekalkan SWN dengan membuka ruang untuk syarikat telekomunikasi memegang ekuiti dalam DNB.

Kerajaan, yang memiliki 100 peratus ekuiti DNB, kini telah bersetuju untuk menawarkan sehingga 70 peratus pegangan ekuiti DNB kepada syarikat telekomunikasi untuk membolehkan mereka terbabit dalam pelaksanaan rangkaian 5G negara, manakala kerajaan akan terus memegang 30 peratus.

Begitupun, setelah berlaku pertukaran kerajaan, mesyuarat Kabinet Kerajaan Perpaduan pada 7 Disember 2022 mengarahkan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan MOF untuk meneliti, menilai dan memberi cadangan tentang langkah-langkah yang perlu diambil ke atas pelaksanaan rangkaian 5G di seluruh negara.

Seterusnya, pada 3 Mei lalu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, mengumumkan kerajaan akan memperkenalkan rangkaian kedua 5G melalui satu entiti baharu yang akan diwujudkan pada awal 2024 serta menukar model pelaksanaan 5G ketika ini daripada SWN kepada DWN.

Jelas beliau, pelaksanaan rangkaian 5G dengan model SWN melalui DNB akan diteruskan sehingga mencapai 80 peratus liputan kawasan berpenduduk menjelang akhir 2023 dan selepas itu, model SWN akan beralih kepada model DWN pada Januari 2024.

Sejak pengumuman ini dibuat, banyak maklum balas telah diberikan oleh berbagai pihak. 

Di Parlimen, Rodziah Ismail dari Ampang, bertanyakan sama ada keputusan ini boleh mengakibatkan kemudaratan seperti kemungkiran kontrak Antarabangsa, pelanggaran tatakelola baik, risiko keselamatan siber, lonjakan implikasi kewangan kepada kerajaan dan kenaikan taraf 5G buat pengguna.

Mantan Ketua Pegawai Eksekutif Jaring Communications Sdn Bhd CEO, Dr Mohamed Awang Lah, percaya firma-firma telekomunikasi tidak boleh dibenarkan mempunyai infrastruktur 5G mereka sendiri kerana monopoli penting dalam aset penting negara.

Pemilik The Edge, Tan Sri Tong Kooi Ong, pula mengeluarkan tulisan yang mempertikaikan sama ada langkah ini akan benar-benar meningkatkan persaingan antara firma-firma telekomunikasi dan memberikan harga internet yang lebih murah kepada rakyat.

Kata beliau, ini sukar berkalu kerana DNB hanya boleh menjual borong kepada firma-firma telekomunikasi yang mengawal harga kepada pelanggan, dan ini menjadi sebab mengapa SWN diwujudkan, iaitu untuk memecahkan pegangan oligopoli ke atas ekosistem selular.

Lebih penting lagi, DNB di bawah model SWN mampu berdiri sendiri dari sudut kewangan dengan pinjaman bank, tetapi bila ada DWN sebagai pilihan maka kemampuan DNB untuk menjana kewangan akan menjadi bermasalah dan menyebabkan DNB berhadapan krisis kewangan.

DNB adalah syarikat Kementerian Kewangan, tetapi bila dibiarkan DNB bersaing dengan firma-firma telekomunikasi yang mungkin menawar harga lebih murah, maka pada akhirnya DNB akan menghadapi masalah dan terpaksa memindahkan beban itu kepada rakyat atau kerajaan.

Masih belum terlewat untuk kerajaan mengkaji dengan lebih teliti keputusan menukar model pelaksanaan 5G ketika ini daripada SWN kepada DWN. Memang ciri-ciri demokrasi seperti keterbukaan itu lazimnya bagus tetapi ada waktu dan ketikanya ia boleh merugikan negara. 

Jangan semata-mata kerana model SWN DNB dibuat di zaman PN memerintah maka Kerajaan PH-BN mahu menukarnya pula semata-mata untuk menampakkan kelainan sedangkan model SWN DNB ini diakui pakar-pakar sebagai yang terbaik.  

FAIZOL ABDUL HALIM 
Beliau ialah seorang pembangun perisian bebas HARAKAHDAILY 23/6/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -