UEFA gantung Mourinho empat perlawanan

Jose Mourinho kelihatan memarahi pengadil Anthony Taylor
- Advertisement -

Badan bola sepak Eropah UEFA, semalam membuat keputusan menggantung ketua jurulatih AS Roma, Jose Mourinho, empat perlawanan dalam Liga Europa selepas menghamburkan kata-kata kesat kepada pengadil Anthony Taylor, manakala kelab itu didenda.

Susulan kekalahan Roma kepada Sevilla dalam perlawanan akhir Liga Europa, Mourinho mengkritik pengadil selepas perlawanan yang menyebabkan Taylor dan keluarganya diganggu di Lapangan Terbang Budapest oleh penyokong kelab Itali itu.

- Advertisement -

Roma didenda sejumlah 55,000 Euro (AS$63,464) dan dilarang menjual tiket kepada penyokong lawan mereka untuk perlawanan seterusnya kerana menyalakan bunga api, membaling objek, perbuatan merosakkan dan gangguan orang ramai serta kelakuan tidak wajar pasukan itu ketika perlawanan akhir.

Kelab Itali itu juga diarah menghubungi Persekutuan Bola Sepak Hungary dalam tempoh 30 hari untuk menyelesaikan kerosakan yang disebabkan oleh penyokong di stadium.

Roma menduduki tempat keenam dalam Serie A untuk layak ke Liga Europa musim depan.

Sementara itu, West Ham United didenda 58,000 Euro selepas penyokong mereka membaling objek ke padang dan menceroboh padang permainan berikutan kemenangan dalam perlawanan akhir Liga Konferens Eropah ke atas Fiorentina.

Kapten kelab Itali, Cristiano Biraghi, dibaling oleh suatu objek pada kepalanya ketika bersedia untuk mengambil sepakan sudut dalam perlawanan di Prague menyebabkan pemain pertahanan itu memerlukan rawatan perubatan akibat darah mengalir di lehernya.

West Ham akan bermain dalam Liga Europa musim depan selepas memenangi perlawanan akhir.

Roma juga didenda sebanyak 80,500 Euro dan diarah menutup sebahagian stadium (6,000 tempat duduk) kerana membaling objek semasa perlawanan separuh akhir menentang Bayer Leverkusen.

Kelab Jerman itu pula didenda sebanyak 43,000 Euro dan juga diarah menutup sebahagian stadium (5,000 tempat duduk) kerana menyalakan bunga api dan membaling objek.

Fiorentina dan FC Basel turut didenda dan dilarang menjual tiket kepada penyokong tempat lawan mereka untuk perlawanan seterusnya kerana kesalahan serupa. – REUTERS

- Advertisement -