Kedah lulus 7,233 surat hak milik tanah

CERIA...seorang daripada 204 pemohon menerima geran hak milik tanah yang disampaikan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada majlis serahan di Kampung Paya Serdang, hari ini. (Foto UPDA)
- Advertisement -

PENDANG: Sehingga kini, kerajaan negeri berjaya meluluskan 7,233 surat hak milik tanah termasuk Lesen Pendudukan Sementara (LPS) sejak Kedah ditadbir PERIKATAN NASIONAL (PN) tiga tahun lalu.

- Advertisement -

Menurut Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, tindakan itu bukan sahaja menunaikan hak yang wajar diperolehi oleh pemohon malah memastikan nikmat yang diperolehi dinikmati semua.

“Rakyat juga ada hak untuk merasakan keseronokkan hidup, sekurangnya bila meninggal dunia ada harta boleh wariskan harta kepada anak-anak,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, beliau melahirkan rasa bertuah kerana dikurniakan para pegawai yang sedia bekerja dan bersungguh-sungguh merealisasikan hasrat kerajaan.

Sanusi berkata demikian pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik dan Notis 5A bagi Kampung Paya Serdang, di sini hari ini.

“Ada golongan merasa bahagia apabila dapat meninggalkan warisan kepada anak-anak.

“Oleh itu menghargai anugerah yang diberikan oleh kerajaan ini dan peliharalah sebaiknya,” pesannya.

Turut hadir termasuklah Exco Kerajaan Negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tokai, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman dan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim.

Dalam pada itu para pemilik tanah diingatkan jangan lupa melaksanakan tanggungjawab membayar cukai tanah seperti yang ditetapkan.

Pada majlis itu, sebanyak 204 geran yang terdiri daripada 100 surat hak milik dan 104 notis 5A diluluskan dan diserahkan kepada pemohon. – HARAKAHDAILY 22/6/2023

- Advertisement -