Enam negeri sebagai semak-imbang Kerajaan Pusat

- Advertisement -

KERAJAAN Campuran Pakatan Harapan dan Barisan Nasional kini sudah lebih 6 bulan usianya. Memasuki Putrajaya dalam situasi ‘hung Parliament’ mereka telah memaksa terbentuk satu kerjasama politik yang luar biasa.

Musuh tegar, yang sepanjang tempuh kempen memaki hamun sesama sendiri, akhirnya boleh menyapu ke tepi apa sahaja perbezaan demi mahu membentuk kuasa dan merebut jawatan. Prinsip dan dasar perjuangan dikorbankan asal sahaja beroleh habuan.

Umpamanya DAP yang sebelum ini cukup memusuhi Umno zaman-berzaman, yang menganggap Umno parti yang korup dan para pemimpinnya penyakau belaka, Umno parti perkauman Melayu, tiba-tiba boleh menghulur tangan persahabatan pada Umno kerana mahukan cukup bilang untuk jadi kerajaan.

Demikian juga Umno, yang tidak pernah ada ruang untuk DAP sebelum ini dalam hati mereka, mereka dakwa DAP pro komunis, cauvinis dan anti Melayu serta Islam, tiba-tiba berlembut hati mendakap DAP kerana melihat tawaran walau dengan 26 kerusi, dijanjikan jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Hari ini setelah 6 bulan, rakyat mula menilai keberkesanan dan kemampuan mereka sebagai kerajaan. Jika dulu demi mahu meraih kuasa pelbagai janji dan tawaran ditabur. 

Tiada rakyat Malaysia yang boleh lupa janji Datuk Seri Anwar Ibrahim yang popular itu yang kini viral merata, iaitu, hari ini jadi pemerintah, esok minyak turun.

Janji seumpama ini dan banyak lagi yang lain kini dituntut rakyat. Kegagalan menepati janji, dalam keadaan suasana ekonomi yang tidak menentu ini bagi rakyat adalah satu pengkhianatan besar bukan lagi hiburan.

Pakatan Harapan berjanji mahu mewujudkan pentadbiran yang beramanah demi mengembalikan keyakinan rakyat, tetapi hari ini setelah berkuasa, mereka bersekongkol dengan tokoh-tokoh yang dahulu mereka dakwa sebagai penyamun dan penyakau. Malah mengangkat tokoh-tokoh ini ke jawatan tertinggi dalam negara.

Juga mereka pernah berjanji bagi menangani kos sara hidup rakyat yang semakin tinggi, pendekatan mendahulukan kepentingan rakyat akan dilaksanakan. Hari ini rakyat tidak nampak apa-apa pendekatan yang positif kecuali kos barang makanan dan perkhidmatan yang semakin mencacak naik, menyeksa kehidupan mereka.

Berkebetulan bulan Jun ini membawa ke awal Julai, Dewan-dewan Negeri bagi enam buah negeri di Semenanjung iaitu Kelantan, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Terengganu akan dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri ke-15 buat keenam-enam negeri ini. 

Dan PH-BN dijangka menyertai PRN ini dengan gabungan baru mereka. Inilah peluang terbaik bagi rakyat khasnya di enam buah negeri ini untuk menilai dan membuat keputusan terbaik. Dalam keadaan Kerajaan Persekutuan gagal memberikan penyelesaian terbaik buat rakyat walau enam bulan telah berlalu sejak mereka membentuk kerajaan, rakyat di enam buah negeri ini perlu membuat keputusan adakah sesuai Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri datang dari gabungan parti yang sama atau dalam keadaan sekarang ini lebih sesuai ianya dari gabungan parti yang berbeza agar wujud semak dan imbang.

Biar enam buah kerajaan negeri ini memantau perjalanan Kerajaan Persekutuan agar mereka kembali memberi tumpuan pada pembangunan rakyat dan negara, atau jika gagal juga memberikan isyarat pada rakyat untuk menggantikan mereka.

Kerajaan Madani yang lahir dari Kerajaan Campuran ini awalnya mahu membawa satu imej baru yang segar yang mampu memperbaiki dan memulihkan keadaan hidup rakyat kebanyakan. Mereka menyangka ‘bulan dan bintang’ yang mereka gula-gulakan pada rakyat sebelum berkuasa dahulu akan mudah dapat dipetik begitu sahaja.

Rupanya suasana politik dan ekonomi negara dan dunia pasca pandemik COVID-19 ini lebih mencabar dan terbukti dalam tempoh enam bulan ini Kerajaan Campuran yang terdiri dari rakan-rakan kongsi yang luar biasa ini lebih mengambil masa menguruskan hal dalaman sesama sendiri yang kucar-kacir dari memberi tumpuan pada nasib rakyat dan negara.

Kita dapat melihat sendiri beberapa indikator ekonomi yang memberi isyarat betapa gagal dan lemahnya kerajaan ini.

Prestasi pasaran saham adalah satu indikator terbaik. Menurut rekod Indek Komposit Kuala Lumpur (KLCI) pada 6 April 2018 ditutup 1,846.51 mata berbanding 1,396.91 pada penutup 30 Mei 2023 iaitu kejatuhan 24.3 peratus.

Jika kesan ini mahu dituding pada pasaran dunia, mengapa JCI Indonesia boleh meningkat 3.3 peratus dalam tempoh yang sama dan STI Singapura cuma merosot 7.1 peratus tempoh yang sama?

Demikian juga keadaan mata wang Ringgit Malaysia berbanding Dolar Amerika (USD). Pada 6 April 2018, 1 Dolar Amerika diniagakan pada RM3.87. Pada 30 Mei, 2023 baru-baru ini 1 Dolar Amerika bersamaan RM4.63 iaitu perubahan -19.64 peratus.

Siapakah yang lemah, sedangkan Rupiah Indonesia (IDR) cuma merosot 8.46 peratus dalam tempoh yang sama dan Dolar Singapura (SD) pula cuma 2.29 peratus?

Ini belum ditambah dengan harga barangan domestik yang mencacak naik termasuk bahan-bahan makanan, telur, minyak masak, sayur-sayuran, ayam dan lain-lain.

Apa yang harus rakyat lakukan dalam berhadapan dengan kerajaan yang lemah dan gagal seumpama ini?

Inilah masanya untuk kita wujudkan semak dan imbang, Kerajaan Persekutuan perlu dipantau oleh kerajaan negeri yang cergas dan bertenaga yang didukung rakyat.

Lantas PRN ke-15 untuk enam buah negeri ini adalah platform yang terbaik untuk rakyat mengambil inisiatif menuntut perubahan menurut lunas demokrasi.

Pastikan PH-BN yang gagal di peringkat Persekutuan ini tidak diberi kuasa di mana-mana 6 negeri yang akan mengadakan PRN. 

Memberi PH-BN menang bermakna rela dan bersetuju dengan kegagalan dan kelemahan mereka di peringkat Persekutuan yang teruk menjejaskan penghidupan kita dan masa depan negara.

Biar enam negeri ini menjadi blok yang kuat dalam sistem Federalisme, menjadi benteng suara rakyat mengawal dan memantau Kerajaan Persekutuan. Kita tuntut ‘check and balance‘ iaitu semak dan imbang, dari rakyat untuk rakyat.

ROSLAN SHAHIR DATUK MOHD SHAHIR
Setiausaha
PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 22/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -