EPIC Berhad catat 17 peratus peningkatan perolehan

KUALA TERENGGANU: Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad atau Kumpulan EPIC) telah melaksanakan Mesyuarat Agung Tahunan ke-42 syarikat yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Terengganu merangkap Pengerusi EPIC Berhad, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Advertisement

Menurut Group COO, EPIC Berhad, Muhtar Suhaili As-Sarawaki, semua resolusi telah diluluskan oleh pemegang saham yang hadir.

Katanya, di mesyuarat terbabit, EPIC Berhad telah mengumumkan keputusan pencapaian kewangan syarikat yang telah diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (TK2022).

Bagi TK2022, Kumpulan EPIC merekodkan jumlah perolehan sebanyak RM343.1 juta, peningkatan 17 peratus berbanding RM292.2 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (TK2021).

Daripada jumlah perolehan tersebut, RM179.1 juta (52 peratus) adalah daripada perkhidmatan pangkalan bekalan, RM93.0 juta (27 peratus) adalah daripada perkhidmatan kejuruteraan, RM60.0 juta (18 peratus) adalah daripada operasi pelabuhan, dan RM11.0 juta (3 peratus) adalah daripada segmen tenaga boleh diperbaharui iaitu tenaga solar.

Menurut Muhtar, pertumbuhan perolehan direkodkan Kumpulan bagi TK2022 adalah sumbangan pencapaian yang memberangsangkan oleh Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB) yang mencatatkan perolehan yang tinggi berikutan peningkatan aktiviti minyak dan gas di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB).

Selain itu katanya, PBKSB, EPIC OG Sdn Bhd (EOGSB), anak syarikat EPIC Berhad yang menyediakan perkhidmatan kejuruteraan dan penyelenggaraan khususnya bagi operasi sektor minyak dan gas, turut merekodkan perolehan yang baik, sekali gus mendorong kepada peningkatan perolehan di peringkat Kumpulan.

EPIC Berhad mencatatkan peningkatan keuntungan bersih selepas cukai (PAT) kepada RM3.9 juta berbanding RM2.8 juta pada tahun sebelumnya.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (TK2023) pula, Kumpulan EPIC mensasarkan perolehan sebanyak RM387.2 juta, 13 peratus lebih tinggi berbanding catatan TK2022.

Dengan sasaran perolehan yang lebih tinggi, PBT dianggarkan naik 14 peratus, daripada RM21.7 juta kepada RM24.7 juta, manakala PAT pula dianggarkan meningkat lebih daripada 2 kali ganda atau lebih daripada 100 peratus kepada RM9.3 juta berbanding rekod RM3.9 juta bagi TK2022.

Terkini, PBKSB dijangka mencatatkan perolehan dan keuntungan yang lebih tinggi berikutan peningkatan dalam aktiviti onshore dan offshore serta peningkatan dalam kadar sewaan fasiliti hartanah.

Beliau berkata, aktiviti penggerudian dengan kadar purata lapan bulan tempoh penggerudian pula bakal menyumbang kepada penggunaan kapal yang lebih tinggi, sekali gus merancakkan lagi penggunaan perkhidmatan pangkalan bekalan.

Katanya, bukan itu sahaja, pemasangan dua kren gantri (gantry cranes) di Dermaga Timur atau East Wharf yang bakal dijalankan pada hujung tahun 2023 akan meningkatkan jumlah pengendalian kargo bagi operasi pelabuhan oleh Konsortium Pelabuhan Kemaman Sdn Bhd (KPKSB).

“Melangkah ke hadapan, EPIC Berhad kekal komited untuk mengikuti rancangan perniagaan strategik syarikat sambil memanfaatkan peluang kerjasama perniagaan bersama pemain-pemain industri yang muncul daripada pemulihan aktiviti sektor minyak dan gas.

“Selain daripada pelaburan berpotensi bagi memajak tanah milik syarikat di kawasan perindustrian Teluk Kalong serta memanfaatkan kemudahan di Pelabuhan Kemaman,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/6/2023