MB menghadap sebelum Sultan berangkat ke Makkah

Datuk Seri Amirudin Shari
- Advertisement -

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari akan menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, bagi mendapat perkenan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, sebelum baginda berangkat ke Tanah Suci.

- Advertisement -

Amirudin bagaimanapun berkata beliau belum menerima tarikh untuk menghadap Baginda.

“Kalau tak sempat (menghadap), saya akan pergi ke Madinah (menghadap di sana), tetapi kita cuba elakkanlah. Maknanya kita akan cuba menghadap sebelum tarikh Tuanku berangkat ke Tanah Suci,” katanya kepada media selepas hadir Forum Selangor Mobility, di sini hari ini.

Sultan Selangor dan Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, dijadual berangkat ke Tanah Suci minggu hadapan bagi menunaikan ibadah Haji.

Pembubaran DUN Selangor adalah bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Dalam perkembangan lain, Amirudin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor berkata rundingan pembahagian tiga lagi kerusi DUN di antara PH dan Barisan Nasional (BN) akan dilakukan hari ini atau esok.

Tanpa menyebut DUN tiga kerusi berkenaan, Amirudin berkata perbincangan akan memberi peluang yang sama adil kepada semua rakan kongsi dan yang diutamakan ialah strategi untuk menang.

“Masing-masing perlu berbesar hati untuk melihat ‘winnability’, bagi mendapat majoriti mudah atau majoriti yang selesa yang terbaik,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -