Himpunan terbesar lembu hibrid berkualiti di Bachok

- Advertisement -

BACHOK: Rakyat Kelantan berpeluang menyaksikan himpunan terbesar lembu hibrid berkualiti Malaysia sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan 2023.

- Advertisement -

Hari Peladang diadakan di Pantai Irama bermula hari ini sehingga 18 Jun ini. Sebanyak 213 ekor lembu hibrid dari seluruh Kelantan dipamerkan.

Jumlah terbabit meliputi 87 ekor Charolais, Limousin (85 ekor), Belgian Blue (12 ekor), Blonde (19) dan lembu pelbagai baka (10).

Nilaian ternakan lembu dianggar berjumlah RM2.405 juta yang melibatkan penyertaan seramai 113 penternak.

Selain itu sambutan Hari Peladang turut melibatkan penyertaan 150 ekor kambing bagi Pameran dan Pertandingan Kambing Comel dan 80 ekor Pameran dan Pertandingan Bebiri.

Anggota Exco kerajaan negeri Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, orang ramai diharap tidak melepaskan peluang melihat dari dekat kejayaan sektor pertanian di Kelantan.

Pelbagai aktiviti diadakan termasuk pameran agensi dan jabatan kerajaan, pertandingan hasil produk, buah-buahan, sayur-sayuran dan tanaman industri.

“Selain itu jualan usahawan flori dan Industri Kecil dan Sederhana dan pameran makanan ternakan,” katanya di sini.

Orang ramai juga berpeluang menimba ilmu daripada sesi taklimat dan demontrasi pelbagai sektor pertanian termasuk mekanisasi dalam pertanian, cantuman belimbing, fertigasi keledek, cara membuat cecair penggalak tanaman organik.

Demo membuat jeli halia, masakan berasaskan ikan dan pes, taklimat tanaman nanas dan potensi produk, perbincangan isu biosekuriti negara dan skim keselamatan sosial.

Pengunjung juga berpeluang menyaksikan demo buat losyen homemade, menjana pendapatan sampingan dengan produk, taklimat kaedah hendak membuat ratu lebah kelulut, pemakanan lembu hybrid.

Demontrasi dan taklimat tersebut disampaikan pakar dari pelbagai bidang pertanian dan pemasaran. – HARAKAHDAILY 14/6/2023

- Advertisement -