Sedekad berlalu: Isu pencen veteran tentera belum selesai

Dato' Khlir Mohd Nor (tengah) dalam sidang media di Lobi Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur pada hari ini, 14 Jun 2023.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menyelesaikan isu penyelarasan pencen veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sudah berlarutan hampir 10 tahun.

- Advertisement -

Dato’ Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) berkata, jumlah penyelarasan pencen khas bagi veteran ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013 kurang sehingga 36 peratus berbanding yang bersara selepas tempoh berkenaan.

“Veteran ATM lebih kurang seramai 78,000 yang pencen sebelum 2013 amat kecewa dengan tindakan kerajaan pada masa ini kerana penyelarasan pencen mereka itu adalah hak mereka.

“ATM sangat berbeza dengan penjawat-penjawat awam yang lain. ATM ini ada Akta Tentera 1972. Jadi pencen pesara ATM adalah melalui Seksyen 187 Akta ATM 172.

“Mengikut peraturan pencen, ganjaran dan lain-lain faedah ATM, setiap kali ada penyelarasan gaji mesti diadakan juga penyelarasan pencen, tetapi malangnya, pada tahun 2013 bila ada penyelarasan gaji untuk ATM, namun penyelarasan pencen tidak dibuat,” kata beliau dalam sidang media di Lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau berkatai, alasan untuk tidak dapat membincangkan isu penyelarasan pencen di Dewan Rakyat kerana terdapat isu mahkamah adalah tidak munasabah.

“Kenapa pula kita tidak boleh bincang, sedangkan itu hak angkatan tentera. Saya merayu kepada pihak kerajaan tolonglah veteran ini kerana rata-rata mereka telah berumur lebih daripada 70 tahun. 

“Veteran ATM tidak mahu pingat, tidak mahu apa-apa sanjungan, saya mengharapkan kerajaan fikirlah, kalau ditunggu makin lama makin banyak nak diselesaikan makin banyak duit nak digunakan. 

“Kalau diselesaikan 2013 dulu mungkin jumlahnya sedikit tapi tidak ada satu menteri pun yang berusaha menyelesaikan masalah ini maka ia berlanjutan sehingga sekarang,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/6/2023