MM2H berjaya era Hamzah Menteri Dalam Negeri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) menunjukkan kejayaan semasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) berada di bawah pentadbiran menteri penggal lepas, Dato’ Seri Hamzah Zainudin.

- Advertisement -

Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) berkata, seharusnya ucapan tahniah diberikan kepada Hamzah yang kini adalah Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

“Saya ucapkan syabas dan tahniah kerana sebagaimana jawapan Yang Berhormat menteri tadi, dalam tempoh setahun hampir mencecah RM1 bilion kutipan melalui MM2H ini.

“Saya pernah duduk dalam MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) dan saya tahu bagaimana program MM2H ini berjalan.

“Ucapan tahniah ini seharusnya saya rakamkan kepada Ketua Pembangkang (Hamzah) kerana program ini dilaksanakan sewaktu beliau menjadi menteri KDN pada penggal lepas,” ujarnya.

“Soalan saya, adakah pihak kementerian ada menjalankan kajian terperinci terhadap negara jiran seperti Thailand, Singapura dan Indonesia yang turut mempromosikan program seumpama ini secara agresif?

“Yang kita tengok Indonesia, Thailand memang sangat agresif, terutama dari segi mempromosikan pelancongan termasuk keperluan menjadikan MM2H ini lebih fleksibel dari segi pemilikan akaun simpanan tetap dan pengisytiharan aset cair, kadar fi pas dan fi proses serta tempoh pas lawatan sosial jangka panjang,” ujar Mas Ermieyati.

Mengikut soalan asal, Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) bertanyakan rasional perubahan-perubahan terkini yang dilakukan terhadap program MM2H. – HARAKAHDAILY 7/6/2023

- Advertisement -