TG Nik Abdul Aziz: Permata PAS hingga ke akhir hayat

- Advertisement -

PENGANUGERAHAN gelaran Tan Sri kepada Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat merupakan suatu pengiktirafan kepada perjuangan siasatuddakwah Almarhum di bumi Kelantan dan Malaysia amnya. 

Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) ingin menzahirkan penghargaan kepada DYMM Yang di-Pertuan Agong di atas pengurniaan Pingat Panglima Setia Mahkota (P.S.M) kepada Almarhum bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 5 Jun 2023. 

Almarhum merupakan sosok yang berjasa bukan sahaja sebagai seorang wakil rakyat dan Mursyidul Am PAS, bahkan juga pernah menyandang jawatan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat sepanjang tahun 1968-1995. 

Pentadbiran beliau di Kelantan berjaya mengubah persepsi masyarakat terhadap keupayaan PAS mentadbir. Kelantan masih menjadi negeri yang sifar rasuah sehingga hari ini walaupun tidak pernah menerima pengiktirafan daripada musuh politiknya yang penuh dengan slogan perangi rasuah. 

Bahkan, Kelantan juga terkenal dengan julukan Negeri Serambi Makkah yang dimulakan di bawah pentadbiran Almarhum. Tidak sedikit kecaman yang diterima, namun diteruskan dengan jiwa besar. Ia adalah signal yang jelas bahawa usaha mengangkat syiar Islam melalui jalan politik memerlukan tekad yang tinggi. 

Kesemua ini adalah rencah perjuangan yang didukung oleh Almarhum bersama PAS dan ia kekal dikendong beliau sehingga nafas yang terakhir. Patah tumbuh hilang tidak berganti. Semoga Almarhum tenang di sana. Al-Fatihah.

YB USTAZ DATO’ HAJI AHMAD YAHAYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
17 Zulkaedah 1444 Hijri | 6 Jun 2023 Miladi – HARAKAHDAILY 6/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -