Ceramah ‘Jelajah Selangor Baharu’: PH jangan jadi bacul

Mohamed Sukri Omar
- Advertisement -

PENGANJURAN ceramah PERIKATAN NASIONAL (PN) Selangor pada 4 Jun 2023 ini merupakan pengamalan biasa dalam konteks persaingan politik dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi.

- Advertisement -

Ceramah yang disampaikan merupakan siri-siri jelajah PN ke negeri-negeri yang bakal berlangsung PIlihan Raya Negeri (PRN) termasuklah Selangor adalah perkara biasa bagi sesebuah parti atau gabungan parti dalam menyampaikan informasi-informasi semasa kepada rakyat.

Menghalang ceramah penganjuran PN Selangor jelas menunjukkan Pakatan Harapan (PH) Selangor sedang takut dengan gelombang rakyat bersama PN ekoran keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022.

Malah tindakan menghalang menunjukkan sikap kerajaan Selangor yang ditadbir oleh PH sekarang mengamalkan politik lapuk dan tidak bertamadun.

PH Selangor perlu bersikap profesional dalam berhadapan dengan pesaing politik dengan hujah dilawan hujah, bukannya menggunakan kuasa bagi menghalang, menyekat atau membatalkan apa sahaja program dari pihak pesaing.

Sikap tidak profesional hanya memberikan imej buruk kepada negeri Selangor yang dikenali sebagai negeri yang mempunyai banyak institusi pendidikan dan intelektual yang ramai.

Inilah sebabnya rakyat perlu memilih PN pada PRN akan datang kerana terlalu banyak isu PH Selangor selama ini.

Rakyat sedar dan rakyat bangkit dalam PRU15 baru-baru ini. Ini fakta yang tidak boleh dinafikan.

Gelombang PN yang menyapu bersih di negeri-negeri seperti Kedah, Terengganu dan Kelantan baru-baru ini jelas menunjukkan pengundi Melayu Islam khususnya jelas memang tidak lagi mahukan PH sejak PRU14. Ditambah lagi, negeri Perlis juga kini ditadbir oleh PN menjadikan empat menteri besar daripada PAS-PN.

Jika PH Selangor lagaknya seperti “anak jantan” tunjukkan kejantanan dengan bersikap adil kepada pesaing politik dalam konteks demokrasi yang dijamin oleh Perlembagaan.

PH Selangor boleh pusing satu negeri menerusi “nama kerajaan” bagi meraih undi rakyat, kenapa PN tidak boleh memiliki kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman dalam penganjuran ceramah mega?

Pemuda PN Selangor mendesak pihak bertanggungjawab dalam kerajaan PH Selangor untuk berhenti berbohong dalam apa jua alasan untuk tidak meluluskan penggunaan Padang Astaka, Tanjong Karang.

Kita sudah masak perangai bacul sebegini. Menghalang program dengan pelbagai alasan yang direka-reka.

MOHAMED SUKRI OMAR
Ketua Pemuda
PERIKATAN NASIONAL Negeri Selangor
3 Jun 2023 – HARAKAHDAILY 3/6/2023

- Advertisement -