TIS 2023: Memartabatkan kesyumulan Islam

- Advertisement -

PADA 1 Jun 2023 yang lalu, bumi Terengganu Darul Iman yang bertuah dengan bangganya telah berjaya menganjurkan Terengganu International Summit 2023 (TIS 2023) yang diadakan di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.

- Advertisement -

Terengganu International Summit adalah satu persidangan yang menyediakan platform buat para sarjana, cendiakawan, pakar dan pembuat dasar bagi membincangkan isu-isu kritikal berkaitan peranan Islam dalam masyarakat majmuk, politik dan kesatuan ummah.

Tema Terengganu International Summit kali ini “Kesyumulan Islam Dalam Mendepani Cabaran Global“ adalah amat bertepatan dengan cabaran yang dihadapi oleh umat Islam ketika ini yang memerlukan kesepakatan dan persefahaman untuk mengukuhkan kembali kesejagatan dan perpaduan ummah.

Persidangan ini dihadiri oleh tokoh-tokoh dari luar dan dalam negara seperti Dr. Zakir Abdul Karim Naik (India), Dr. Samia Raheel Qazi (Pakistan), Dr. Muhammad Hidayat Nur Wahid (Indonesia), Prof. Dr. Abdel Rahim Ali Mohammaed Ibrahim (Sudan) termasuk mantan Menteri Agama YB. Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri dan YB Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh.

Persidangan dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dengan ucaptama persidangan disampaikan oleh YB Tan Sri Dato’ Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Dalam ucaptama, beliau menekankan kepentingan meletakkan Islam kembali di kemuncak di samping keperluan untuk membangkitkan semula jati diri di kalangan umat Islam dengan melaksanakan serta mengamalkan Islam secara keseluruhan baik dari aspek kehidupan sama ada secara individu dan bermasyarakat mahupun pemerintahan bernegara.

Tuan Guru juga turut menyentuh berkenaan cabaran yang di hadapi oleh Dunia Islam hari ini dari sudut politik dan pemerintahan yang menghadapi pelbagai halangan untuk mencipta kebangkitan serta pengaruh ideologi dan tamadun Barat yang melemah dan menghancurkan tamadun manusia. Namun kini telah berlaku kebangkitan di kalangan umat Islam yang diterima majoriti umat Islam, dilihat sebagai penyelamat dan pejuang yang menegakkan kembali syiar Islam.

Saya selaku Pengerusi Bersama Terengganu International Summit 2023 turut berpeluang menyampaikan ucapan yang menyentuh tentang cabaran yang dihadapi oleh Dunia Islam dalam era globalisasi ketika ini di mana terdapat banyak pengaruh dan fahaman yang “secara halus“ dibaluti cantik dengan istilah dan nama Islamik tetapi amalannya jauh dan asing dari ajaran Islam.

Cabaran ini perlu ditangani dengan baik dan jika dibiarkan, impaknya mampu mengubah struktur kehidupan umat Islam, sama ada secara individu, masyarakat mahupun bernegara dengan cabaran utama dalam skala global saat ini adalah dalam bentuk pemikiran termasuklah Islamofobia dan Islam Liberal yang mengguna pakai sistem politik sekular Barat.

Sejarah telah menjadi asas yang kukuh bahawa Tanah Melayu khususnya Terengganu telah mengamalkan ajaran Islam secara syumul sejak berabad lamanya sebagai ad-deen atau “the way of life“, bukan hanya terhad kepada persoalan ibadat semata-mata seperti mana yang difahami masyarakat Melayu selepas era penjajahan British.

Batu Bersurat Terengganu menjadi bukti di mana kandungannya memaparkan ajaran Islam yang merangkumi seluruh aspek kehidupan bermasyarakat sama ada dalam bidang kekeluargaan, pentadbiran, jenayah, muamalah, politik dan sebagainya.

Begitu juga dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Terengganu yang dinamakan Itqanul Muluk Bi Ta’dilis Suluk yang menerapkan pengaruh sistem politik Islam dalam pemerintahan negeri seperti Ahlu al-Hal Wal Aqd, konsep Syura, konsep Bai’ah, fasal-fasal yang mengandungi hak golongan bukan Islam dan fasal yang memastikan kedaulatan Islam tidak dicabar telah terkandung dalam Perlembagaan Itqanul Muluk ini, sejak sebelum merdeka lagi.

Terengganu juga mempunyai sejarah yang amat rapat dengan ulama sejak zaman berzaman yang memainkan peranan yang amat besar selaku pemikir dan penyelesai masalah ummah di samping mempunyai sistem pengajian ilmu dengan pelbagai ulamak bertaraf dunia sehingga pernah digelar sebagai Serambi Mekah, selain Kelantan dan Acheh.

Dalam hal ini, Islam yang telah menjadi dasar atau pegangan rakyat Terengganu telah menimbulkan semangat perpaduan di kalangan umat Melayu bahawa kedudukan mereka dalam kerangka Tauhid, ummah dan ukhwah bukan terhad kepada lingkungan kawasan dan sejarah alam Melayu semata-mata bahkan turut membabitkan kesemua umat Islam seluruh dunia dari setiap zaman dengan warisan tamadun yang tinggi.

Terengganu International Summit atau singkatannya TIS akan menjadi “brand” pada persidangan akan datang dengan tema semasa yang bakal diketengahkan. Mudah-mudahan resolusi yang telah disepakati bakal menjadi panduan dan pedoman kepada umat Islam bagi menghadapi cabaran getir yang sedang dihadapi di seluruh dunia ketika ini.

Ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan buat YB Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,  Menteri Besar Terengganu YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan seluruh anggota pentabiran Kerajaan Negeri Terengganu, penganjur Terengganu International Summit 2023 iaitu Terengganu Strategic & Intergrity Institute (TSIS) dan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) dengan kerjasama Yayasan Permata Ummah dan kesemua terbabit yang menjayakan program yang penuh gemilang ini.

Semoga Terengganu International Summit 2023 kali ini menjadi pemangkin dan pendorong kepada kita semua untuk terus bangkit dan berjuang meletakkan Islam di tempat yang sepatutnya.

“Malaysia Sejahtera”

YB DR. MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 2/6/2023

- Advertisement -