Harga rumah UK jatuh merudum

- Advertisement -

LONDON: Harga rumah di United Kingdom pada bulan lalu, mencatatkan kejatuhan pada kadar tahunan terpantas sejak krisis kewangan 14 tahun lalu.

- Advertisement -

Mengikut Nationwide Building Society (Nationwide), harga rumah setakat Mei lalu menurun sebanyak 3.4 peratus, iaitu kejatuhan terbesar sejak Julai 2009.

Harga rumah turun sebanyak 0.1 peratus pada bulan lalu menyebabkan purata harga hartanah kini berada pada £260,736.

Sehubungan itu, Nationwide menyatakan bahawa pihaknya akan menaikkan kadar faedah kepada pinjaman perumahan tertentu seperti pinjaman perumahan tetap baharu terpilih sebanyak 0.45 peratus.

Menurut Ketua Ekonomi Nationwide, Robert Gardner, tindakan ini merupakan antara langkah dalam menghadapi situasi demikian.

“Jika kita mengekalkan tindakan ini, ini berpotensi memberikan peningkatan kepada kadar faedah pinjaman rumah yang sekian lama menurun ketika kerajaan membuat belanjawan mini pada September tahun lalu,” katanya.

Beliau yakin keadaan ekonomi UK masih kuat kerana mempunyai pasaran pekerjaan yang kuat dan pendapatan isi rumah yang stabil.

Namun penganalisis kewangan peribadi di Interactive Investor, Myron Jobson melahirkan kebimbangan terhadap tindakan itu.

Beliau tidak menafikan bahawa kejatuhan harga rumah baik untuk pembeli rumah, tetapi kenaikan kadar faedah akan menyukarkan rakyat untuk memiliki rumah.

“Ini akan menyebabkan semakin ramai rakyat menghadapi kesukaran untuk memiliki rumah pada masa akan datang, terutama dengan kenaikan kos hidup,” katanya.

Sementara itu mengikut Economics Help, harga rumah memainkan peranan penting bukan sahaja terhadap ekonomi sesebuah negara, tetapi dunia.

Kejatuhan harga rumah di sesebuah negara bukan sekadar memberi kesan terhadap pengguna, tetapi menyebabkan ekonomi bergerak perlahan.

Senario sebegini akan membawa kepada kemelesetan ekonomi yang mampu merebak ke seluruh dunia seperti ketika krisis kewangan pada 2008. – INDEPENDENT

- Advertisement -