Ronaldo gembira di Arab Saudi

- Advertisement -

Cristiano Ronaldo mengakui tidak menjangka menamatkan musim dengan tangan kosong di Al Nassr, tetapi penyerang Portugal itu berkata, dia gembira di Arab Saudi dan berharap pemain terkenal lain akan mengikutinya ke liga untuk kempen akan datang.

- Advertisement -

Ronaldo menandatangani kontrak 2.5 tahun yang dianggarkan oleh media bernilai lebih 200 juta Euro (AS$220.16 juta) dengan Al Nassr, membuat penampilan sulungnya pada Januari lalu.

Dia menjaringkan 14 gol dalam 16 perlawanan, tetapi tidak mencukupi untuk membantu pasukannya memenangi gelaran Liga Pro Saudi (SPL), apabila Al Nassr menduduki tempat kedua di belakang Al Ittihad.

Pemain berusia 38 tahun itu yang terlepas perlawanan terakhir kerana kecederaan berkata, liga sangat kompetitif tetapi terdapat banyak peluang untuk berkembang.

“Kami mempunyai pasukan yang sangat bagus, pemain Arab yang sangat bagus, tetapi infrastruktur – mereka perlu menambah baik sedikit lagi. Malah pengadil, sistem VAR, sepatutnya lebih cepat sedikit,” katanya dalam temu bual bersama SPL.

“Tetapi saya gembira di sini, saya mahu teruskan di sini, saya akan teruskan di sini.”

Ronaldo berkata, dia telah menyesuaikan diri dengan kehidupan di kelab itu, walaupun terdapat banyak perbezaan berbanding zamannya di Eropah, ketika bermain untuk pasukan elit seperti Manchester United, Juventus dan Real Madrid.

“Di Eropah, kami berlatih lebih banyak pada waktu pagi dan di sini, kami berlatih pada sebelah petang atau malam. Apabila anda memulakan Ramadan, kami berlatih pada pukul 10 malam,” tambahnya.

Sejak ketibaan Ronaldo, beberapa pemain terkemuka lain dikaitkan dengan perpindahan ke SPL dengan Lionel Messi menerima tawaran rasmi untuk menyertai Al-Hilal musim depan.

Bekas rakan sepasukan Ronaldo dan pemenang Ballon d’Or, Karim Benzema, dilaporkan telah menerima tawaran bernilai lebih 100 juta Euro daripada Al Ittihad.

“Jika mereka datang, pemain besar dan nama besar, pemain muda, pemain lama, mereka sangat dialu-alukan,” kata Ronaldo.

“Jika itu berlaku, liga akan bertambah baik sedikit. Umur tidak penting.” – REUTERS

- Advertisement -