5 negeri terlibat pelantikan, pertukaran pengarah bomba

- Advertisement -

IPOH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengumumkan pertukaran dan pelantikan pengarah di lima negeri berkuat kuasa esok.

- Advertisement -

Timbalan Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohamad berkata pertukaran dan kenaikan pangkat itu membabitkan pengarah JBPM Perak, Kedah, Selangor, Johor dan Putrajaya.

“Rombakan yang dilakukan JBPM ini berikutan persaraan dan kenaikan pangkat pegawai kanan seperti di Kedah akan menerima pengarah baharu yang dinaikkan pangkat manakala pengarah Perak ditukarkan dari Kedah apabila pengarah Perak bersara wajib.

“Selangor, Johor dan Putrajaya akan menerima pengarah yang baharu dan ini adalah lima bertukaran utama yang kita buat mulai esok berikutan persaraan dan juga proses kenaikan pangkat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Penghargaan Pengarah JBPM Perak Azmi Osman dan serah tugas di Ibu Pejabat JBPM Perak di sini hari ini.

Pada majlis itu, Azmi yang bersara wajib selepas 26 tahun berkhidmat, menyerahkan tugas kepada Sayani Saidon yang sebelum ini merupakan pengarah JBPM Kedah.

Sementara itu, Awang Hidzel Awang Bujang dilantik Pengarah JBPM Kedah menggantikan Sayani, Wan Md Razali Wan Ismail dilantik Pengarah JBPM Selangor, Siti Rohani Nadir (Pengarah JBPM Johor) dan Ashari Johari (Pengarah JBPM Putrajaya).

Dalam pada itu, Nor Hisham berkata jabatan itu sentiasa bersiap sedia dalam pelbagai aspek termasuk logistik dan keanggotaan bagi menghadapi cuaca panas untuk meminimumkan impak fenomena itu.

“Pada tahun ini kita agak bimbang dengan keadaan cuaca panas yang melanda seluruh negara Mac lalu dan keadaan sama turut diramal akan melanda pada tahun depan.

“Begitu juga tindakan memadam kebakaran hutan tidak hanya tertumpu kepada JBPM sahaja kerana pihak kami turut bekerjasama dengan beberapa jabatan kerajaan lain termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Perhutanan serta pihak berkuasa tempatan bagi memastikan tiada orang awam terbabit melakukan pembakaran terbuka,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -