Korea Selatan pula kecewakan Malaysia

- Advertisement -

Pasukan remaja lelaki kebangsaan menutup kempen Kejohanan Piala Remaja Asia 2023 di Kompleks Belia Sultan Qaboos, Salalah, Oman di kedudukan keempat selepas tunduk 1-2 kepada Korea Selatan.

- Advertisement -

Aksi yang berlangsung malam tadi menyaksikan Korea Selatan memecah kebuntuan pada minit ke-22 menerusi pukulan sudut penalti Lim Dohyun sebelum Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari menjaringkan gol penyamaan buat negara pada minit ke-26.

Bagaimanapun, gol gerakan padang Yoo Seungho pada minit ke-37 menghadiahkan kemenangan 2-1 buat Korea Selatan.

Ketua jurulatih, Muhamad Amin Rahim, kecewa dengan kekalahan ini selain menyedari masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki bagi memastikan Malaysia bersedia sepenuhnya menghadapi Kejohanan Piala Dunia Remaja 2023 di Kuala Lumpur, akhir tahun ini.

“Di sebalik keputusan hari ini, saya tetap memberikan pujian kepada setiap pemain yang mencuba sehabis baik untuk bermain dalam dua perlawanan berturut-turut, iaitu Sukan SEA Kemboja dan Piala Remaja Asia.

Pemain Malaysia cuba menyekat serangan pemain Korea Selatan – PERSEKUTUAN HOKI MALAYSIA

“Bagaimanapun, kami perlu menerima keputusan pada kejohanan kali ini dan secara keseluruhan, kami bermula dengan baik dengan menang semua perlawanan peringkat kumpulan.

“Namun kami gagal untuk kekal bersaing pada peringkat yang lebih tinggi, iaitu separuh akhir dan juga penentuan tempat ke-3 dan ke-4. Banyak aspek yang barisan kejurulatihan perlu lihat kembali sepanjang kejohanan ini berlangsung,” katanya.

Muhamad Amin berharap pemain dapat mempelajari sesuatu daripada kejohanan ini dan bersedia sepenuhnya untuk mengharungi fasa yang lebih mencabar selepas ini.

Menurutnya, pasukan akan bercuti selama 10 hari apabila kembali ke tanah air dan akan kembali menjalani latihan pada 12 Jun.

Menurutnya, setiap kelemahan yang dikenal pasti di sini, terutama dari segi fizikal akan diberikan penekanan yang lebih selepas latihan kembali bersambung.

Selain itu, katanya ada perancangan untuk mengadakan siri jelajah persahabatan di Eropah untuk membiasakan pemain dengan corak permainan benua Eropah agar pasukan dapat memberikan saingan dan bersedia sepenuhnya menghadapi Kejohanan Piala Dunia Remaja 2023. – PERSEKUTUAN HOKI MALAYSIA

- Advertisement -