PRN enam negeri jadi referendum rakyat

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Pilihan Raya Negeri (PRN) yang melibatkan enam negeri boleh dianggap sebagai referendum rakyat terhadap kerajaan campuran yang mentadbir persekutuan sekarang.

- Advertisement -

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudin berkata, ia akan menjadi kayu ukur terhadap penolakan atau penerimaan rakyat terhadap kerajaan pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Katanya sikap kerajaan sering dilihat penuh dengan ‘flip-flop’ dalam membuat banyak keputusan.

“Pagi cakap lain, petang cakap lain. Ini yang membuatkan rakyat keliru dengan keputusan yang dibuat kerajaan sekarang sedangkan rakyat menuntut penyelesaian tuntas terhadap masalah yang dihadapi sekarang, bukannya hanya menuding jari kepada pihak lain,” katanya pada perasmian Permukiman Pemuda PAS Sabah di Kundasang, semalam. Hadir sama ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Sabah, Hendri Hamsah.

Afnan Hamimi yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata, sekiranya kerajaan berterusan bersikap demikian, maka PRN akan menjadi peluang terbaik bagi rakyat membuat keputusan.

Enam negeri iaitu Kelantan, Kedah, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang dijangka mengadakan PRN pada Julai atau Ogos nanti. – HARAKAHDAILY 29/5/2023

- Advertisement -