Kedah lulus 642 permohonan tanah pertanian

Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah meluluskan 642 permohonan tanah pertanian untuk diserahkan hak milik kepada pemohon di Langkawi dan Pendang.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kelulusan itu melibatkan 277 geran di Kampung Paya Serdang, Pendang, 105 di Langkawi dan 47 permohonan lain yang sebelum ini diberi komen oleh jabatan teknikal.

“Tanah-tanah berkenaan kebanyakannya berada di pinggir hutan dan telah diterokai lebih daripada 20 tahun.

Permohonan pemilikan geran tanah ini paling banyak di daerah Pendang seperti di Paya Serdang yang ada di antaranya sudah 56 tahun mengusahakan tanah itu termasuk juga di beberapa buah kampung di Langkawi yang dikenal pasti sebelum ini,” kata beliau pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tanah Negeri (JKTN) di Wisma Negeri, semalam.

Menurutnya lagi, majlis serahan hak milik geran akan diadakan secepat mungkin dan tindakan itu membuktikan kerajaan negeri mengotakan apa yang dikatakan sebelum ini.

Jelasnya lagi, permohonan tanah pertanian akan dipertimbang oleh pejabat daerah, kemudian dibawa ke JKTN untuk kelulusan.

Ini, ujarnya berbeza dengan permohonan tanah atas tujuan komersial yang perlu dibentang serta diluluskan dalam mesyuarat Exco.

Beliau mengingatkan para penerima geran agar tidak menjual tanah yang diperolehi sebaliknya manfaatkannya sebagai harta yang boleh diwariskan kepada anak cucu nanti.

Bahkan, katanya kelulusan baharu itu juga tidak membenarkan sebarang penukaran hak milik atau penjualan dalam tempoh 10 tahun, cuma dibolehkan untuk gadaian (sandaran) pinjaman bank.

Sanusi turut memberi amaran mana-mana individu yang menjalankan kegiatan ‘bawah tanah’ iaitu memohon tanah atas nama orang lain sedangkan dalam masa yang sama sudah memiliki tanah yang luas.

“Sindiket seperti itu sudah berakar umbi lama dah. Kita pun boleh kenal individu yang buat kerja tu. Bersabit kesalahan kegiatan seperti ini akan diambil tindakan berdasar undang-undang,” tambah beliau lagi. – HARAKAHDAILY 29/5/2023

- Advertisement -