Kelantan peruntuk RM30,000 setiap DUN tingkat pendidikan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan terus memperuntukan sebanyak RM30,000 setiap tahun untuk memajukan bidang pendidikan selaras dengan kepentingan pendidikan sebagai agenda utama kerajaan negeri ini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Kerajaan negeri, Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, peruntukan itu lazimnya akan disalurkan kepada setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membantu golongan pelajar  yang memerlukan untuk menyambung pendidikan.

Katanya, inisiatif yang diberikan itu juga adalah untuk memberi fokus terhadap pendidikan supaya dapat melahirkan generasi yang menguasai bidang pendidikan dengan baik selain membolehkan mereka mendapat ilmu pengetahuan yang luas.

“Di bawah kerajaan negeri terdapat pelbagai program yang membabitkan pendidikan termasuk pemberian ‘wang off’ bagi program pelajar yang dapat memasuki ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) selain pelajar itu juga mendapat (anugerah) dekan.

“Manakala untuk program pelajar yang tidak mampu kita juga ada agensi Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) menawarkan pinjaman dan biasiswa pendidikan bagi anak-anak Kelantan yang berkelayakan untuk melanjutkan pendidikan.

“Sekiranya mendapat keputusan cemerlang dalam pengajian ia akan diberi peluang sebagai penerima biasiswa dan hanya perlu membayar semula dengan jumlah yang rendah bergantung kepada keputusan pengajian.

“Selain itu, di bawah Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) turut menyediakan sumbangan secara tahunan,” katanya selepas merasmikan program Ekspo Selangkah Ke UiTM 2023 cawangan Kelantan di Bazar Tok Guru, di sini, hari ini.

Sementara itu dalam perkembangan yang sama, ketika diminta mengulas tular mengenai pemuda yang kekurangan dana untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir, Mumtaz berkata, kerajaan negeri telah menyalurkan sumbangan wang tunai kepada pelajar berkenaan.

Terdahulu tular seorang pemuda Ahmad Arif Aziz, 20, melakukan tiga kerja semata-mata untuk mengumpul kos perbelanjaan bagi menyambung pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir demi memenuhi impiannya untuk menjadi seorang pensyarah dalam bidang syariah. – HARAKAHDAILY 28/5/2023

- Advertisement -