Negara masih ada lebih 100,000 KIR miskin tegar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) berkata, jawapan Timbalan Menteri Ekonomi mengesahkan bahawa masih ada lebih 100,000 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar di negara ini.

- Advertisement -

Sehubungan itu, beliau berpandangan bahawa dalam isu kemiskinan, ada yang tersingkap (golongan yang dapat keluar dari miskin tegar) dan ada yang terperangkap (masih dalam kelompok miskin tegar).

“Kita kena bantu, kita kena tarik mereka keluar (dari kelompok miskin tegar),” katanya ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ketika mengemukakan soalan tambahan, Mohd Syahir ingin tahu sama ada kerajaan berpuas hati dengan data golongan miskin tegar di negara ini.

“Apakah langkah supaya tak berlaku kesilapan, kita memasukkan mereka yang tidak layak dan kesilapan tidak memasukkan mereka yang benar-benar layak,” katanya.

Datuk Hanifah Hajar Taib ketika menjawab persoalan ini berkata berdasarkan data yang ada, kerajaan akan melakukan penambahbaikan.

“Kita akui masih memang masih ada kekangan jika tidak mendapat data daripada penerima yang sepatutnya dapat bantuan. Melalui penambahbaikan yang dilakukan, kita akan dapat mereka yang benar-benar memerlukan bantuan,” katanya.

Menjawab soalan asal Mohd Syahir yang meminta Menteri Ekonomi menyatakan kemajuan yang dicapai oleh kerajaan untuk mengurangkan kadar kemiskinan dan menghapuskan kemiskinan tegar sejak enam bulan lalu, Hanifah Hajar berkata bilangan KIR miskin tegar berdaftar berkurangan daripada 124,744 kepada 118,217 bagi tempoh antara 15 Disember 2022 sehingga 15 Mei 2023.

Manakala bagi KIR miskin berdaftar, katanya berkurang daripada 304,911 KIR kepada 299,080 KIR bagi tempoh yang sama. – HARAKAHDAILY 25/5/2023

- Advertisement -