Peguam Negara gugur 16 kes berprofil tinggi dari 2018-2023

Muhammad Fawwaz Mohamad Jan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said berkata, sebanyak 16 kes berprofil tinggi telah digugurkan oleh Peguam Negara sejak 2018 sehingga 2023 di bawah Fasal (3) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

- Advertisement -

Katanya, fasal itu memberi budi bicara kepada Peguam Negara untuk membuat keputusan untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa- apa prosiding bagi sesuatu kesalahan.

Tambahnya, daripada jumlah 16 kes tersebut, mahkamah telah memerintahkan 13 kes dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan dan tiga kes lagi dilepas tanpa dibebaskan di bawah seksyen 254(3) Kanun Tatacara Jenayah.

Beliau menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan di Dewan Rakyat, hari ini.

Muhammad Fawwaz dalam soalannya meminta Perdana Menteri menyatakan data kes profil tinggi yang telah digugurkan oleh Peguam Negara sejak 2018 sehingga 2023 dan alasan pengguguran kes tersebut.

Azalina menambah, Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk menggugurkan kes berprofil tinggi tersebut setelah menimbangkan, antara lain, perkembangan baharu sesuatu kes, representasi yang dikemukakan peguam bela tertuduh, tertuduh yang dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan dijadikan saksi pendakwaan, atau tertuduh dikenakan kompaun.

Katanya, Jabatan Peguam Negara menegaskan bahawa keputusan untuk mengenakan atau menggugurkan pertuduhan terhadap mana-mana orang adalah berdasarkan keterangan dan fakta hasil daripada penyiasatan.

Menurutnya lagi, keputusan yang dibuat adalah dengan adil berdasarkan keterangan dalam kertas siasatan, berlandaskan teras integriti bagi memastikan mangsa, saksi, tertuduh dan orang awam memperoleh keadilan yang sewajarnya selaras dengan bidang kuasa Peguam Negara yang diperuntukkan di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan. – HARAKAHDAILY 25/5/2023

- Advertisement -