The real Untold Story: Kos penerbangan PMX

- Advertisement -

SEMALAM dalam Sidang Parlimen, ada diberikan soalan oleh pihak pembangkang, YB Afnan Hamimi Taib Azamudden wakil Alor Setar, yang inginkan jawapan dari Kerajaan Madani berkenaan kos penerbangan keseluruhan yang telah dibelanjakan oleh Perdana Menteri ke-10 (PMX) sepanjang menjadi orang nombor satu di Malaysia. Soalan yang sebegitu, dikira amat biasa, semenjak dahulu, sering sahaja dikemukakan oleh Ahli Parlimen bagi mendapatkan penjelasan. Dan dari dapatan lalu, Kerajaan BN yang dituduh PH sebagai kerajaan korup dahulu, pernah memberikan jawapan kos yang telah digunakan bagi penerbangan seorang Perdana Menteri.

Apa yang mengejutkan ialah, jawapan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri bagi Sabah Dan Sarawak, Datuk Armizan Mohd Ali ialah kerajaan tidak mahu memberikan butiran kos penerbangan yang telah digunakan oleh PMX, semenjak mengambil alih kuasa dengan bergabung dengan musuh yang dikatakan rejim yang korup suatu masa dahulu, bersama membentuk kerajaan dengan PH, November lalu. Walau menteri menjelaskan penerbangan itu adalah hak keistimewaan seorang Perdana Menteri, tetapi sehingga ke sudah, kos itu tidak juga beliau berikan.

Sedangkan sebelum itu, pada soalan YB Fadhli Shaari, Pasir Mas, berkenaan kos sambutan Hari Raya Madani, dijawab beliau, siap dengan perbandingan dengan kos tahun lalu, yang mana tahun ini lebih jimat. Tetap jawapan dan perbandingan itu hanya bagi tiga buah negeri sahaja, manakala majlis itu sepatutnya bagi enam buah negeri. Kata menteri, kos tiga buah negeri lagi ditanggung oleh negeri masing-masing. Habis negeri tu, guna duit siapa?

Seorang penulis pro-PH yang juga wartawan veteran, Shahbudin yang mana tulisan beliau sering menyerang PN dan mempertahankan PH, kelihatannya kecewa dengan jawapan menteri itu. Bagi beliau, Kerajaan Madani PMX yang beliau puja dan pertahankan semenjak dahulu, ketika beliau menjadi wartawan di Utusan Malaysia, tidak telus dalam memberikan jawapan di Parlimen.

Sambung beliau lagi, dahulu, ketika Najib menjadi Perdana Menteri, Kerajaan BN menjawab soalan itu dalam Parlimen dengan memberikan jumlah 100 juta sepanjang tiga tahun Najib menggunakan keistimewaan itu. Demi sahaja mendengar jawapan itu, kemudiannya muncullah Nga Kor Meng ‘menganjing’ dengan mencadangkan supaya Najib menggunakan penerbangan komersial biasa menerusi perkhidmatan Malaysian Airlines (MAS) sebagai langkah penjimatan atas apa yang beliau sifatkan sebagai pemborosan duit rakyat. Ramai pimpinan PH waktu itu juga menjadikan isu itu sebagai lelucon mereka, menyerang Najib.

Apa yang dikesali oleh Shahbudin sekarang, tiada pula suara yang mendesak PMX kesayangan beliau supaya mendedahkan kos sebenar penggunaan wang rakyat bagi kemudahan menggunakan kapal terbang atau jet itu. Ini tidak sepatutnya berlaku apatah lagi PMX yang beliau kasihi itu telah berulang kali dengan tegas sebelum dan selepas bergabung dengan Umno yang ada individu tertuduh kes rasuah itu melaungkan untuk tidak bertolak ansur dengan pembaziran, rasuah dan salah laku lain berkaitan duit rakyat marhaen. Walaupun sewaktu beliau melaungkan itu, tertuduh kes rasuah ada sepentas dengan beliau. Tegas sungguh PMX, dia tidak peduli siapa. Tetapi ke mana tegas itu telah pergi sekarang.

Saya agak sedih membaca luahan hati Shahbudin itu kerana harapan beliau amat besar. Dia pastinya tidak mahu untuk menjadi penentang kepada PMX, maka dengan itu beliau memujuk dengan penuh tertib dan adab. Beliau juga mentaati PMX dan sanggup menjadi penulis yang tanpa gagal mempertahankan PMX. Akan tetapi sampai bila? Beliau menutup lubang, tetapi PMX pula membocorkan. Kalau main bola, macamana mahu menang, pertahanan asyik bocor sahaja, beri gol kepada lawan, kan? Siapa tahan? Akhirnya beliau membuat soalan, madani apa ni? 

Cuma saya ada terfikir alangkah eloknya kalau PMX menjadi ‘Superman’ bagi menyelamatkan duit rakyat kerana beliau suka terbang dan Superman terbang percuma. Akan tetapi bila saya fikirkan kembali, saya tidak jadi mahu mencadangkannya kerana beberapa sebab. Sebab yang pertama, Superman memakai seluar dalam berwarna merah di luar. Walaupun merah melambangkan ‘ong’ bagi masyarakat Cina, iaitu bangsa yang menolong beliau dalam PRU, tetapi ada isu lain. Isunya ialah PMX akan dianggap sebagai melakukan gangguan seksual kerana cara pemakaian sebegitu. Lebih-lebih lagi PMX sebelum ini sudah banyak terpalit dengan isu-isu seksual. Jadi nanti bertambah teruk imej PMX.

Keduanya kekuatan Superman terletak di batu kriptonite yang datang bersamanya dari planet dan disimpan di satu tempat khas. Malangnya kripto itu bukan berwarna biru muda seperti kostum Superman, tetapi berwarna hijau gelap. PMX alah dengan warna hijau gelap. Ketiga, Superman tidak boleh kahwin, nanti kuasanya hilang. PMX dah kahwin, anakpun ramai. Keempat, Superman gagah, boleh lawan semua sakit, tapi PMX pernah sakit pinggang dan pernah diracun dengan arsenik. Oleh itu PMX tak boleh jadi Superman

Ataupun kos penerbangan PMX yang Untold itu, adakah ia sengaja disembunyikan supaya menjadi rahsia sekarang kerana ada perancangan untuk difilemkan pula selepas ini? Sama-sama kita nantikan tiket percuma filem itu. 

MOHD NASIR ABDULLAH
24 Mei 2023 – HARAKAHDAILY 24/5/2023

*Gambar Superman dari Quora

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -