Kalimah Allah: Menjunjung titah DYMM Sultan Johor

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) menjunjung titah DYMM Sultan Ibrahim Ibni Al-Marhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Di-Pertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim yang mengambil perhatian berat terhadap isu kalimah Allah yang menjadi kerisauan umat Islam.

- Advertisement -

Pada 17 Mei yang lalu, DPPNJ telah mengeluarkan satu kenyataan media yang bertajuk “Eksklusif Yang Disalah Guna: KDN Perlu Beri Penjelasan” selari dengan Enakmen Kawalan dan Sekatan Perkembangan Agama-Agama Bukan Islam 1991 yang melarang penggunaan kalimah-kalimah yang dikhususkan secara eksklusif untuk umat Islam dan tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam kecuali dalam keadaan atau amalan yang dibenarkan oleh perundangan seperti dalam senikata Lagu Bangsa Johor.

DPPNJ menyanjung tinggi titah Baginda Tuanku yang menyarankan supaya Kerajaan Persekutuan memperhalusi dengan cermat dan sebaiknya kesan-kesan keputusan menarik balik rayuan yang difailkan di Mahkamah Rayuan Putrajaya bertarikh 10 Mac 2021 Jill Ireland Lawrence Bill lawan Kementerian Dalam Negeri.

DPPNJ juga menjunjung tinggi titah Baginda Tuanku yang menyatakan tetap berpendirian bahawa penerbitan, percetakan, penyiaran dan pengedaran sebarang bahan yang mengelirukan rakyat, terutamanya umat Islam, tidak akan dibenarkan di Negeri Johor selari dengan kedudukan Islam di dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895.

Keprihatinan Baginda Tuanku perlu disambut secara serius oleh semua rakyat Johor sama ada beragama Islam mahupun bukan Islam demi memastikan keharmonian dan perpaduan terus dipelihara.

USTAZ AHMAD NAWFAL DATO’ MAHFODZ
Ketua Pemuda PAS Negeri Johor – HARAKAHDAILY 24/5/2023

- Advertisement -