Segera pinda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta untuk mempertimbangkan beberapa cadangan pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 termasuk penambahbaikan dalam Seksyen 6, 8 serta 11.

- Advertisement -

Timbalan Pengerusi Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM), Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin, juga meminta kerajaan melakukan pindaan itu dengan segera demi masa depan negara.

“Pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat telah ditanya oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof, yang meminta kerajaan menyatakan apakah Akta Pemberi Maklumat 2010 yang melibatkan Seksyen 6, 8 dan 11, akan ditambah baik dalam persidangan ini.

“Pertama dengan memperluaskan badan yang berkelayakan untuk menerima aduan pemberi maklumat. Kedua, menubuhkan sebuah agensi bebas untuk menyelaras akta tersebut dan memastikan pemberi maklumat dilindungi.

“Ini adalah satu isu yang saya kira sudah lama Ahli Parlimen minta untuk diberi perhatian dan diberikan tindakan dengan segera,” katanya yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah dalam sidang media di Pusat Media Parlimen, hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Jerantut, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin; Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman; bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Senator Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters), Nurhayati Nordin.

Namun, Mas Ermieyati menghargai jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Seri Azalina Othman.

“Sebagaimana yang dinyatakan bahawa ia akan menambah baik definisi pada Seksyen 2 serta memperkukuhkan peruntukan pada Seksyen 6 dan juga memperjelaskan peruntukan Seksyen 8 dan Seksyen 14, memperincikan peruntukan Seksyen 11 dan mempertimbangkan skala ganjaran di bawah Seksyen 26.

“Penambahbaikan kepada Seksyen 6, 8 dan 11 adalah cadangan yang sedang dipertimbangkan oleh kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/5/2023

- Advertisement -