Individu cuba bunuh diri perlu dipulihkan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Individu yang cuba membunuh diri perlu diberi peluang kehidupan dengan diberi rawatan pemulihan sepenuhnya.

Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) berkata, percubaan membunuh diri adalah perkara yang amat bahaya dan perlu dielakkan oleh semua pihak.

- Advertisement -

Katanya, negara akan kehilangan aset berharga jika ramai rakyat memilih untuk membunuh diri bagi menyelesaikan masalah mereka.

“Namun, perbuatan percubaan membunuh diri tidak dikategori sebagai jenayah sebagaimana Rang Undang-Undang (RUU) yang telah kita bentangkan semalam.

“Ini bagi memberi peluang kepada individu tersebut diberikan rawatan pemulihan sepenuhnya dan bukan ancaman perundangan yang akan menambahkan lagi tekanan hidup,” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Kesihatan Mental (Pindaan) di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Muhammad Ismi, menyelamatkan nyawa juga termasuk dalam lima perkara darurat yang wajar diberi perhatian.

“Menyelamatkan nyawa adalah antara perkara yang termasuk dalam lima perkara penting iaitu menyelamatkan agama, nyawa, keturunan, harta dan akal.

“Jadi dalam hal ini, ia membabitkan hal yang berkaitan dengan menyelamatkan nyawa, harta dan juga akal,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/5/2023

- Advertisement -