Yahudi tunjuk lagak, perarakan bendera Israel

Pelampau Yahudi di luar pintu Damsyik, meraikan kejayaan Israel menawan Baitulmaqdis
- Advertisement -

BAITULMAQDIS: Ribuan pelampau Yahudi dijangka berarak melalui kawasan penduduk Islam di Kota Lama Baitulmaqdis, hari ini, acara tahunan yang menimbulkan kebimbangan terhadap keganasan.

Perarakan tahunan untuk memperingati kejayaan Israel menawan Baitulmaqdis dalam perang 1967, semakin menjadi acara buat pelampau Yahudi menunjukkan kekuatan. Bagi rakyat Palestin, acara itu adalah provokasi secara terang-terangan untuk menjejaskan hubungan mereka dengan bandar itu.

- Advertisement -

Kira-kira 2,500 anggota polis ditugaskan menjaga perarakan itu dan memastikan ia aman, kata polis Israel yang bersedia untuk menghadapi semua senario, termasuk keganasan dan nyanyian anti-Arab oleh peserta perarakan terhadap penduduk Palestin dan tembakan roket dari Gaza.

Kumpulan Islam Hamas yang mentadbir Gaza, melancarkan roket ke Israel ketika perarakan pada 2021, mencetuskan perang 11 hari yang mengorbankan sekurang-kurangnya 250 rakyat Palestin di Gaza dan 13 orang di Israel.

Selepas pertempuran antara Israel dan pejuang Palestin di Gaza berakhir pada hujung minggu lalu, keinginan untuk meningkatkan ketegangan kelihatan rendah.

“Kami tidak mahu perang dan tidak mahu ketegangan meningkat, tetapi mereka tidak sepatutnya mengapi-apikan ketegangan ke atas kami,” kata Hussam Al-Simri, penjual ayam dari Gaza.

Mesir yang menjadi `orang tengah’ mewujudkan gencatan senjata, telah bercakap dengan kedua-dua pihak di Israel dan Palestin untuk mengurangkan ketegangan menjelang perarakan.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang mengetuai kerajaan nasionalis-agama, dengan angkuh menegaskan acara itu akan diteruskan seperti yang dirancang.

Bagi sesetengah pihak, perarakan itu juga adalah soal agama. Kota Lama Baitulmaqdis adalah rumah kepada Masjid Al-Aqsa, tapak ketiga paling suci Islam. Pada masa sama, penganjur Yahudi mendakwa kawasan itu adalah tapak paling suci agama mereka yang dikenali sebagai Kuil Gunung.

Rakyat Palestin melihat perarakan itu sebahagian kempen yang lebih meluas untuk meningkatkan kehadiran Yahudi di seluruh bandar ini, marah dengan peningkatan jumlah pelawat Yahudi di Al-Aqsa, terutama mereka yang sengaja melanggar arahan agama Yahudi yang melarang melakukan sembahyang agama itu di situ.

Bertindak sebagai pembela Palestin dan tapak suci umat Islam di Baitulmaqdis, Hamas menggesa rakyat Palestin untuk meningkatkan kehadiran mereka untuk menghadapi sebarang pencerobohan Israel.

Menteri Polis dari parti sayap kanan Israel, Itamar Ben-Gvir berkata dalam mesej videonya semalam bahawa polis Israel akan menghentikan sebarang percubaan untuk menghancurkan perayaan dan berjanji “Perarakan bendera… kenaikan orang Yahudi ke Kuil Gunung tanpa sesiapa diancam atau dicederakan.”

Baitulmaqdis berada di tengah-tengah dekad konflik Israel-Palestin. Israel melihat keseluruhan Baitulmaqdis sebagai ibu kota abadinya. Rakyat Palestin mahu bahagian timur yang ditawan oleh Israel, tindakan yang tidak diiktiraf di luar negara, sebagai ibu negara masa depan mereka. – REUTERS

- Advertisement -