4 pemain bakal tinggalkan Liverpool

Roberto Firmino memberikan lambaian perpisahan kepada penyokong Liverpool.
- Advertisement -

Roberto Firmino, Naby Keita, James Milner dan Alex Oxlade-Chamberlain, akan meninggalkan Liverpool selepas kontrak mereka tamat pada penghujung musim ini.

Mereka adalah sebahagian anggota skuad yang memenangi Liga Juara-Juara pada 2019 dan membantu kelab itu memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris pertama dalam tempoh 30 tahun pada musim 2019-20.

- Advertisement -

“Keempat-empat pemain berkenaan akan meninggalkan kelab dengan kami mengucapkan terima kasih dan penghargaan terhadap sumbangan yang mereka berikan,” kata Liverpool dalam satu kenyataan.

“Pemain akan memulakan babak baharu dalam karier selepas tamat musim 2022-23, setelah membantu The Reds menjulang pelbagai penghormatan sepanjang tempoh di Anfield.

“Kami mendoakan Roberto, Naby, James, Alex dan keluarga mereka yang terbaik untuk masa depan.”

Firmino yang menyertai Liverpool pada 2015, bermain bersama Mohamed Salah dan Sadio Mane yang membentuk tiga penyerang prolifik di bawah pengurus Juergen Klopp. Dia menjaringkan 80 gol dalam 254 perlawanan liga.

Bagaimanapun, pemain berusia 31 tahun itu yang tidak bermain sejak pertengahan April lalu kerana kecederaan otot dan berjuang untuk cergas akan beraksi dalam perpisahan emosional menentang Aston Villa, Sabtu ini dalam perlawanan terakhir di Anfield, musim ini.

Milner juga menyertai pada 2015 dari Manchester City dan membuat 330 penampilan untuk kelab itu.

Aksi pemain berusia 37 tahun itu semakin berkurangan dalam beberapa musim kebelakangan ini dengan Klopp sering menggunakan pemain tengah itu dari bangku simpanan.

Keita yang menyertai kelab dari RB Leipzig dengan bayaran melebihi 50 juta Pound (AS$63 juta), mempunyai 11 gol dalam 129 perlawanan sejak berpindah ke Anfield pada 2018. Bergelut untuk pulih dari kecederaan, pemain berusia 28 tahun itu hanya bermain 12 kali musim ini.

Oxlade-Chamberlain juga bergelut untuk bermain musim ini, hanya membuat 13 penampilan. Dia menyertai kelab dari Arsenal pada 2017 dan bermain 146 kali serta menjaringkan 18 gol.

Liverpool berada di tempat kelima dalam kedudukan dengan 65 mata, satu mata di belakang pasukan tangga keempat Manchester United, yang mempunyai satu perlawanan dalam tangan. Selepas menentang Villa, mereka menamatkan musim berkunjung ke Leicester City pada 28 Mei. – REUTERS

- Advertisement -