Pusat proses kelapa sawit sedia 5,000 peluang pekerjaan

- Advertisement -

GUA MUSANG: Kedudukan di kawasan hulu yang jauh dari ibu negeri tidak menghalang Gua Musang terus membangun, seiring bandar-bandar lain di Kelantan.

- Advertisement -

Malah sehingga sekarang muncul banyak pusat pertumbuhan baharu yang merubah wajah lama Gua Musang, antaranya Bandar Baharu Gua Musang, Bandar Utama, Bandar Ciku 3 dan Bandar Lama.

Dan tidak lama lagi bakal muncul pula Bandar Dato’ Bentara Gua Musang yang terletak di Panggung Lalat, laluan ke Tanah Tinggi Lojing dan Cameron Highlands.

Projek itu dilaksanakan secara usahasama antara Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dengan syarikat Nextgreen Global Berhad (NGGB).

Perasmian projek Pembangunan Rancangan Kawasan Khas (RKK) Bandar Dato’ Bentara Gua Musang serta Pusat Pengumpulan dan Pemprosesan Biojisim Kelapa Sawit tersebut disempurnakan Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob hari ini. (Foto atas)

Hadir sama Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Nazran Muhammad, anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat dan pemimpin tempatan.

Projek terbabit yang dijangka siap menjelang tahun 2035 mampu menyediakan rumah mampu milik kepada 4,000 keluarga serta perumahan sederhana dan dusun kepada 4,340 penduduk.

Selain itu, sebanyak 5,000 peluang pekerjaan akan dijana melalui pembangunan pusat pengumpulan dan pemprosesan biojisim kelapa sawit, kilang makanan haiwan, kilang baja dan kilang pulpa.

Pegawai Serantau Dun Paloh Azman Ahmad berkata, kewujudan bandar baharu itu secara tidak langsung mampu meningkatkan lagi taraf hidup masyarakat setempat.

“Projek tersebut juga membuktikan satu lagi kejayaan kerajaan negeri menyediakan pembangunan tersusun untuk rakyat.

“Bandar Dato’ Bentara dijangka memberi keselesaan dan kesejahteraan kepada penduduk tempatan memandangkan lokasinya begitu strategik di laluan Gua Musang-Cameron Highlands,” katanya.

Lokasi terbabit juga terletak tidak jauh daripada penempatan Orang Asli di Kuala Betis. – HARAKAHDAILY 18/5/2023

- Advertisement -