AmanahRaya urus lebih 27,000 akaun amanah RM1.3b

Ahmad Feizal Sulaiman Khan
- Advertisement -

TELUK INTAN: Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) telah mengurus lebih 27,000 akaun amanah dengan nilai RM1.3 billion sejak ditubuhkan pada 1921 hingga 30 April tahun ini.

- Advertisement -

Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya Ahmad Feizal Sulaiman Khan berkata syarikat pemegang amanah itu juga mentadbir kira-kira 15,700 fail pusaka dengan anggaran nilai aset RM1.1 billion, manakala sejumlah 1.1 juta wasiat telah didaftarkan sepanjang tempoh tersebut.

“Bagi negeri Perak, anggaran nilai aset untuk akaun pusaka sebanyak RM123 juta dan nilai pengurusan akaun amanah sebanyak RM53 juta. Bagi wasiat pula, sebanyak 2,545 wasiat telah didaftarkan,” katanya pada sidang media selepas perasmian pejabat AmanahRaya cawangan Teluk Intan yang disempurnakan Orang Besar Jajahan Hilir Perak Datuk Meor Redwan Mahayudin, di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Feizal dalam ucapannya berkata pembukaan pejabat AmanahRaya yang ke-20 itu dilihat mampu menambah baik kualiti perkhidmatan sedia ada selain memenuhi keperluan pelanggan yang memerlukan premis lebih besar.

Beliau berkata seiring usia penubuhan menjangkau lebih 100 tahun, AmanahRaya melaksanakan beberapa inisiatif bagi memperkukuh kecekapan operasi dan menambah baik jaringan perkhidmatan melalui pelbagai platform atas talian mahupun secara fizikal.

“Perkhidmatan yang ditawarkan AmanahRaya merangkumi penulisan wasiat, perkhidmatan peramanahan dan juga pentadbiran pusaka.

“Usaha berterusan juga dilakukan untuk menambah baik sistem operasi dan infrastruktur ICT (teknologi maklumat dan komunikasi) melalui pewujudan Sistem Wasiat, Amanah dan Pusaka (SWAP) bagi memastikan perkhidmatan lebih efisien dapat ditawarkan kepada masyarakat,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -