Semua negeri perlu bantuan pusat atasi bekalan air

- Advertisement -

KOTA BHARU: Hampir semua negeri di negara ini tidak mampu menyelesaikan masalah bekalan air tanpa bantuan daripada kerajaan persekutuan.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, berdasar anggaran sebelum ini Kelantan memerlukan kira-kira RM5 bilion bagi mengatasi masalah bekalan air bersih.

“Sebab itu Kelantan amat mengharapkan supaya keperluan untuk meningkatkan bekalan air dibantu kerajaan persekutuan.

“Kita menyambut baik pengumuman Perdana Menteri (PM) Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk membantu Kelantan menyelesaikan masalah bekalan.

“Bagaimanapun perdana menteri tidak menyebut secara jelas jumlah peruntukan tersebut, sebagaimana yang diumumkan di negeri-negeri lain,” katanya ketika ditemui pada Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), di sini, hari ini. (Foto atas)

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK Ab Aziz Yunus dan pegawai kanan agensi terbabit.

Baru-baru ini ketika merasmikan pembinaan stesen projek ECRL di Bandar Baharu Tunjong dekat sini perdana menteri mengumum akan menambah peruntukan kepada Kelantan dalam usaha meningkatkan kemudahan di negeri itu.

Menurutnya peruntukan terbabit melibatkan projek-projek pembangunan yang dilihat lebih besar berbanding semasa pembentangan Belanjawan Madani sebelum ini.

Pada 7 Februari 2021 kerajaan Perikatan Nasional (PN) meneliti permohonan Kelantan mendapatkan peruntukan RM1.7 bilion bagi mengatasi masalah bekalan air di negeri berkenaan.

Kerajaan PN turut menyalur peruntukan berjumlah RM218 juta bagi membaik pulih paip lama sepanjang lebih 400 kilometer di seluruh Kelantan.

Selain itu turut merancang membina empat lagi loji rawatan air (LRA) baharu yang melibatkan peruntukan sebanyak RM664.8 juta. LRA tersebut iaitu Chicha Fasa 2, Tanjung Mas, Bukit Chupak dan Tok Bali. – HARAKAHDAILY 17/5/2023

- Advertisement -