Kelantan tidak pinggir aktiviti sukan penjawat awam

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan memperuntukkan sejumlah RM14,000 setiap tahun untuk peserta yang menyertai Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK).

- Advertisement -

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri Zuraidin Abdullah bagaimanapun berkata peruntukan tahunan itu berubah mengikut keperluan semasa.

Katanya, peruntukan itu untuk kegunaan latihan, penyediaan peralatan sukan, perbelanjaan ke tempat perlawanan, penginapan dan lain-lain keperluan.

“Peruntukan itu membuktikan kerajaan negeri tidak meminggirkan aktiviti sukan dalam kalangan penjawat awam di Kelantan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan kepada pemain futsal MAKSAK di Dewan Puspanita JKR Kota Bharu, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri, Ir Suhaili Ismail yang juga Pengurus Futsal MAKSAK Kelantan.

Sementara itu, Suhaili berkata kontinjen Kelantan harus sepakat dan sentiasa bekerjasama antara satu sama lain kerana ia adalah kunci kejayaan.

Kata beliau, semangat juga penting ada pada setiap peserta kerana ia sebagai petanda aras kecemerlangan.

“Tahun ini merupakan tahun kelima pasukan JKR Kelantan mengendalikan Kontinjen Futsal MAKSAK negeri.

“Pencapaian terbaik pasukan setakat ini adalah sehingga ke peringkat separuh akhir pada kejohanan yang diadakan di Kuala Lumpur tahun 2021,” ujarnya.

Beliau juga berkata, menyertai kejohanan bukan semata-mata untuk mencari kemenangan dan kejuaraan, sebaliknya sebagai platform memupuk semangat kerja berpasukan. – HARAKAHDAILY 15/5/2023

- Advertisement -